Finland terima waran tangkap Eropah untuk bekas presiden Catalonia


Carles Puigdemont yang hidup dalam buangan di Belgium melawat Finland sejak Khamis untuk bercakap dengan wakil rakyat. – Gambar EPA, 24 Mac, 2018.

POLIS Finland hari ini mengatakan mereka akan menahan bekas Presiden Catalonia Carles Puigdemont di bawah waran tangkap Eropah dikeluarkan Sepanyol tetapi tidak tahu di manakah dia berada.

Puigdemont yang hidup dalam buangan di Belgium melawat Finland sejak Khamis untuk bercakap dengan wakil rakyat dan dijangka meninggalkan negara itu pada tengahari hari ini.

Tidak dapat dipastikan sama ada dia masih berada di negara itu atau tidak.

“Finland menerima waran tangkap Eropah untuk warga Sepanyol yang melawat Finland. Individu yang berkaitan akan menjalani prosedur ektradisi biasa,” kata Biro Siasatan Nasional Finland (NBI) dalam satu kenyataan.

“Lokasi individu itu buat masa kini tidak diketahui pihak berkuasa,” kata kenyataan itu lagi.

Puigdemont dihendaki di Sepanyol atas dakwaan “pemberontakan” dan “hasutan”.

Polis Finland sebelum ini memberitahu AFP yang mereka menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Sepanyol mengenai waran tangkap itu sebelum bertindak.

Wakil rakyat Finland yang menganjurkan lawatan Puigdemont, Mikko Karna memberitahu media yang beliau tidak berhubungan dengan Puigdemont sejak Jumaat.

Peguam Peigdemont, Jaume Alonso Cuevillas memberitahu Radio Catalunya yang anak guamnya tidak akan cuba mengelak ditahan.

“Apabila waran tangkap Eropah dikeluarkan (pertama kali), dia menyerah kepada kehakiman Belgium dan polis, dan akan berbuat perkara sama kini. Saya tidak bercakap dengannya tetapi itu jelas.”

Di Barcelona, Parlimen Catalan menangguhkan persidangan hari ini selepas calon presiden daerah Jordi Turull yang dijangka mengadakan pusingan kedua pengundian di Parlimen ditahan berkaitan cubaan daerah itu keluar daripada Sepanyol. – AFP, 24 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen