Imigresen tumpas sindiket penyeludupan manusia


Seramai 68 warga asing ditahan pada 14 Jun lalu di Terminal Bas Kota Bahru, Kelantan. – Gambar Imigresen, 21 Jun, 2023.

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan 68 warga asing pada 14 Jun lalu di Terminal Bas Kota Bahru, Kelantan.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata tangkapan itu dilakukan melalui Operasi Khas “Ops Gelombang 3” untuk mengesan sindiket menyeludup warga asing melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

“Semasa operasi berkenaan seramai 68 warga asing berusia antara 10 sehingga 62 tahun yang baru memasuki negara secara haram untuk merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini berjaya ditahan.

“Mereka yang ditahan adalah dari Myanmar (16 lelaki dan lima perempuan), Pakistan (dua lelaki), Bangladesh (tiga lelaki), Indonesia (10 lelaki), Vietnam (satu lelaki dan lima perempuan) dan India (11 lelaki, 14 perempuan dan satu kanak-kanak lelaki),” katanya melalui kenyataan media. 

Katanya turut ditahan dalam operasi ini adalah tiga lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter bagi sindiket berkenaan.

Berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua bulan katanya kesemua warga asing ini akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan dan sekitar Lembah Klang melalui bas.

“Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6 ribu hingga RM 7 ribu bagi setiap warga asing untuk masuk ke negara ini dan dipercayai telah aktif sejak enam bulan yang lalu.

“Transporter tempatan pula menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan ke terminal bas berkenaan,” katanya.

Ruslin berkata, semua warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966

Katanya tiga lelaki tempatan pula sudah dihadapkan ke mahkamah dan direman selama enam hari mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – 21 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen