Razarudin dilantik KPN baharu, Ayob Khan timbalan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) baharu menggantikan Acryl Sani Abdullah Sani yang memilih untuk bersara awal. – Gambar Facebook, 21 Jun, 2023.

TIMBALAN Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baru selama dua tahun berkuatkuasa mulai 23 Jun 2023.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata jawatan Razarudin pula akan digantikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay mulai tarikh yang sama.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat perdana menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis memperkenan pelantikan secara kontrak selepas bersara Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara selama dua tahun,” kata Saifuddin melalui kenyataan media.

Dua jawatan tertinggi dalam polis ini digantikan secara serentak selepas Acryl Sani Abdullah Sani yang memegang pucuk pimpinan pasukan itu sebelum ini akan menamatkan kontraknya lebih awal iaitu pada Julai ini.

Sebelum ini kontrak Acryl Sani disambung untuk tempoh dua tahun yang berkuat kuasa pada 4 Oktober 2021 hingga 3 Oktober ini.

Acryl Sani berkata beliau akan mengundurkan diri dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu pertama Julai ini.

Razarudin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Disember 2021 sebelum dilanjutkan secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa Khamis sehingga 15 Mac 2025.

Anak kelahiran Dengkil, Selangor itu memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai pegawai penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di daerah Muar, Johor.

Beliau memegang pelbagai jawatan dalam pasukan antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Perak, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum dilantik ke jawatan nombor dua dalam PDRM.

Ayob Khan ketika ini merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan dilantik jawatan tersebut sejak 16 April lalu menggantikan Abd.Jalil Hassan yang bersara pada tarikh pelantikan tersebut.

Sebelum ini Ayob Khan merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak dilantik ke jawatan itu pada Januari 2022. – 21 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen