Peraturan EU: Presiden Korea Selatan minta pertolongan Macron


Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol meminta Presiden Perancis Emmanuel Macron membantu memastikan undang-undang perdagangan baharu Kesatuan Eropah (EU) tidak mendiskriminasi perniagaan Korea Selatan. – Gambar AFP, 21 Jun, 2023.

PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk Yeol meminta Presiden Perancis Emmanuel Macron membantu memastikan undang-undang perdagangan baharu Kesatuan Eropah (EU) tidak mendiskriminasi perniagaan Korea Selatan.

Yoon membuat permintaan itu semasa sidang kemuncak dengan Macron di Istana Elysee pada Selasa ketika mereka bersetuju untuk memberikan sokongan aktif kerajaan untuk meningkatkan pelaburan dalam industri maju masing-masing termasuk bateri boleh dicas semula, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Timbalan Ketua Penasihat Keselamatan Negara Kim Tae Hyo sebagai berkata.

“Presiden Yoon meminta perhatian khusus Presiden Macron supaya langkah perundangan perdagangan baharu EU tidak mempunyai kesan diskriminasi terhadap perniagaan kita,” kata Kim semasa taklimat media Selasa malam.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju untuk mengembangkan kerjasama angkasa lepas dan kerjasama pertahanan antara Airbus Perancis dan perniagaan Korea Selatan sempena pelancaran pentadbiran aeronautik versi Korea Selatan yang dirancang menyamai model Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa).

Yoon dan Macron juga komited untuk mengembangkan kerjasama teknologi untuk reaktor modular kecil generasi akan datang dan tenaga bersih termasuk tenaga hidrogen sambil turut bersetuju untuk meningkatkan pertukaran dan kerjasama antara syarikat pemula yang dikendalikan oleh golongan muda.

Menyentuh provokasi berterusan Korea Utara, kedua-dua pemimpin itu bersetuju akan keperluan masyarakat antarabangsa untuk bertindak balas dengan tegas terhadap aktiviti menyalahi undang-undang Pyongyang. – Bernama, 21 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen