RUSSIA melancarkan serangan dron “besar-besaran” ke atas Ukraine, kebanyakannya menyasarkan Kyiv, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Anggota Am Angkatan Tentera Ukraine berkata pertahanan udara memusnahkan 28 daripada 30 dron Shahed buatan Iran yang dilancarkan oleh Russia.
Ketua pentadbiran tentera di Kyiv Serhiy Popko melaporkan di sekitar ibu kota sahaja kira-kira 20 dron ditembak jatuh, berdasarkan maklumat awal.
“Satu lagi serangan udara besar-besaran ke atas ibu negara.
“Ia merupakan serangan kedua dron Iran ke atas Kyiv sejak awal bulan selepas serangan pertama dalam tempoh 18 hari,” tulis Popko di Telegram.
Tiada maklumat mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
Bandar Zaporizhzhya di timur Ukraine diserang dengan tujuh peluru berpandu S-300, menurut anggota am. Penilaian kerosakan akibat pengeboman itu sedang dijalankan.
Zaporizhzhya terletak kira-kira 50 km dari barisan hadapan medan perang.
Bandar Lviv di barat Ukraine yang setakat ini sebahagian besarnya tidak terjejas oleh perang bagi tempoh hampir 16 bulan, juga menjadi sasaran serangan udara yang jarang berlaku. – Bernama, 21 Jun, 2023.
Komen