Lebih 40 maut, penjara wanita di Honduras dibakar


Pasukan tentera dan polis bersenjata kelihatan masuk dan berkawal di penjara, sementara anggota bomba turut berada di tempat kejadian. – Gambar AFP, 21 Jun, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA 41 terbunuh di penjara wanita di Honduras, di mana pergaduhan antara geng penjenayah mencetuskan kebakaran dan memusnahkan sebahagian besar bangunan itu, kata polis.

Penjara itu terletak kira-kira 25km di utara ibu kota Tegucigalpa, kata jurucakap polis Edgardo Barahona yang mengesahkan setakat ini jumlah kematian ialah 41.

Lima lagi mangsa yang cedera dibawa ke hospital, kata Barahona.

Ratusan waris mangsa berkumpul di luar pusat tahanan itu menunggu maklumat berkenaan keluarga mereka.

“Kita tidak tahu siapa mangsa yang maut,” kata seorang ahli keluarga.

Pasukan tentera dan polis bersenjata kelihatan masuk dan berkawal di penjara, sementara anggota bomba turut berada di tempat kejadian.

Wakil waris banduan, Delma Ordonez berkata anggota geng penjenayah masuk ke sel anggota geng lain dan membakarnya.

Sebahagian penjara musnah akibat kebakaran itu, katanya kepada media.

Penjara itu menempatkan kira-kira 900 banduan pada masa ini.

Kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat kebakaran, dengan sebahagian mayat didapati mempunyai kesan peluru, kata jurucakap pejabat pendakwa raya Yuri Mora.

Sisatan sedang dijalan terhadap geng yang memulakan serangan, katanya. – AFP, 21 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen