Pakistan berkas 2 suspek pemerdagangan manusia


Pada Ahad Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat insiden bot karam di perairan Greece yang melibatkan 79 orang maut. – Gambar AFP, 20 Jun, 2023.

PIHAK Berkuasa Siasatan Persekutuan (FIA) Pakistan pada Isnin lepas menahan dua suspek utama yang didakwa terbabit aktiviti pemerdagangan manusia selepas tragedi bot karam di perairan Greece, lapor Xinhua.

Kira-kira 79 orang maut termasuk warga Pakistan selepas bot nelayan yang membawa pelarian dan pendatang terbalik di barat daya Greece pada awal Rabu.

Suspek ditahan di dua daerah di Punjab selepas siasatan dilakukan pejabat FIA di Greece dan Pakistan.

Kedua-dua suspek dipercayai bekerjasama menyeludup warga Pakistan ke Eropah.

Pada Ahad Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat insiden itu.

Jawatankuasa itu ditugaskan untuk mengenal pasti kelemahan dalam mekanisme penguatkuasaan undang-undang, yang menyebabkan rakyat Pakistan terdedah kepada aktiviti pemerdagangan manusia. – Bernama, 20 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen