Felcra laksana 4 projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup


Projek mega ternakan ayam pedaging adalah projek mega di bawah RMK12 bagi membantu menambah bekalan ayam selain membuka peluang pekerjaan kepada peserta Felcra. – Gambar EPA, 19 Jun, 2023.

FELCRA Berhad melaksanakan empat projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup, di kawasan luar bandar seluruh negara bagi menampung keperluan bekalan makanan.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata projek itu, dilaksanakan di Tanjung Seratus, Kuala Rompin (300,000 ekor/pusingan); Sungai Damak, Lipis, Pahang (250,000 ekor/pusingan); Padang Terap, Kedah (250,000 ekor/pusingan) dan Paloh 4, Gua Musang, Kelantan (250,000 ekor/ pusingan).

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup tersebut, berpotensi mengubah lanskap sebuah pekan kecil atau desa kepada persekitaran berkualiti.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada generasi warga peserta untuk membina kerjaya serta menjana pendapatan, selain dapat mengisi kekosongan jawatan yang akan ditawarkan.

“Ia dapat dilakukan melalui pelbagai aktiviti penjanaan ekonomi setempat, seperti aktiviti perkhidmatan dan penyelenggaraan, kerja-kerja landskap, pembekalan, pembinaan dan kontrak serta aktiviti lain yang berkaitan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Zahid berkata program tersebut juga merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk terus meningkatkan taraf kehidupan rakyat, melalui Pelan Transformasi Felcra 2.0 dan seterusnya memperkukuhkan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Beliau turut menegaskan isu keterjaminan makanan akan menjadi antara elemen penting dalam usaha berterusan kerajaan, untuk memastikan perancangan rantaian bekalan dalam negara terus berdaya tahan dan dapat memberikan kelangsungan kehidupan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup merupakan projek mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi membantu menambah bekalan ayam di pasaran dalam negara selain membuka peluang pekerjaan kepada peserta Felcra. – Bernama, 19 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen