KPM sentiasa buka peluang untuk golongan tercicir SPM, kata menteri


Media semalam melaporkan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk mencari hampir 30,000 pelajar yang tercicir peperiksaan SPM pada tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan melaksanakan pelbagai intervensi bagi membantu golongan yang tercicir di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk sistem pengesanan untuk golongan itu dalam tempoh dua tahun.  

Menterinya Fadhlina Sidek berkata dalam tempoh tersebut, banyak intervensi boleh dilakukan pihaknya untuk membantu golongan berkenaan dan bukan setakat menduduki semula SPM semata-mata.

“Dalam sistem pengesanan kita di peringkat KPM, kita ada sistem pengesanan golongan ini untuk dua tahun dalam radar kita dan sekurang-kurangnya kita boleh membuat intervensi pelbagai contohnya, mereka yang berhasrat sambung belajar di Tingkatan Enam… kita bagi bantuan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Perpaduan Madani 2023 Sempena ‘Top 10 World’s Best School Prizes’ di Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, Banting hari ini.

Beliau berkata kementeriannya juga sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pelajar yang mahu mengulangi semula peperiksaan SPM.

“Kita (KPM) sentiasa bagi peluang, kita terus sambut apa yang Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) cakap semalam. Soal peluang kedua, soal tentu hala tuju, bimbingan dan kaunseling kita akan bantu.

“Jika mereka (golongan tercicir SPM) memerlukan apa-apa sokongan lain barangkali kewangan, melihat kepada kes, apa yang boleh kita bantu, kita akan bantu,” katanya.

Media semalam melaporkan, Anwar mengarahkan Fadhlina untuk mencari hampir 30,000 pelajar yang tercicir peperiksaan SPM pada tahun lepas.

Menurut Fadhlina, KPM pada masa sama membuka seluas-luasnya Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mereka yang berminat sekali gus bekerjasama dengan yayasan-yayasan negeri bagi memberikan bantuan. – Bernama, 19 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen