Acryl Sani bersara awal kerana ada tawaran lain, kata laporan


Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) pada Julai, lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan pada Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2023.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) pada Julai, lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan pada Oktober, lapor Berita Harian (BH).

Menurut Berita Harian, Acryl yang merupakan KPN ke-13 akan meletakkan jawatan pada minggu pertama Julai.

Ketika dihubungi BH semalam, Acryl mengesahkan perkara itu.

“Ya benar, saya akan berundur dari pasukan PDRM pada minggu pertama Julai ini.

“Keputusan ini dibuat disebabkan ada tawaran di luar sana (luar pasukan PDRM) yang perlu saya terima pada masa ini,” katanya kepada BH malam semalam.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai tawaran tersebut.

Sumber bagaimanapun memberitahu BH Acryl akan dilantik menyertai bank milik kerajaan.

Acryl memulakan perkhidmatannya sebagai KPN pada 3 Mei 2021 menggantikan Abdul Hamid Bador.

Beliau sepatutnya bersara pada tahun yang sama apabila berusia 60 tahun tetapi tempoh perkhidmatannya dilanjutkan untuk dua tahun lagi berakhir Oktober tahun ini.

Pada 2020 beliau dinaikkan pangkat sebagai timbalan KPN. 

Beliau sebelum ini mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Bukit Aman.

Setakat ini nama bakal pengganti Acryl masih belum disahkan.

Selepas persaraan Acryl, timbalannya Razarudin Husain akan mengetuai pasukan polis ketika mereka membuat persiapan menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung pada Julai atau Ogos.

Acryl akan berusia 62 tahun pada 3 Oktober manakala Razarudin Husain berusia 60 tahun. – 19 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen