KERAJAAN perlu melihat perspektif jangka panjang dalam usaha memerangi buruh paksa, kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.
Penguatkuasaan sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan isu buruh paksa di negara ini melainkan apabila sistem ekonomi Malaysia mengiktiraf nilai pekerja, katanya dalam kenyataan hari ini.
Wakil rakyat DAP itu mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar pada Jumaat lepas, yang berkata usaha membanteras isu buruh paksa akan ditingkatkan secara komprehensif melalui pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang berkuat kuasa 1 Januari, khususnya melalui penambahan Seksyen 90B berkaitan buruh paksa.
Sivakumar dalam satu kenyataan berkata peruntukan itu menetapkan penalti kepada majikan yang melakukan kesalahan buruh paksa di bawah akta tersebut.
Ia adalah antara langkah untuk membanteras isu berkaitan buruh paksa, selain memperbaiki penilaian Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (US TIP Report) 2023 yang dikeluarkan Khamis lepas, kata menteri itu.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata tindakan mengharamkan produk keluaran Malaysia atas alasan buruh paksa menyebabkan negara kehilangan hasil.
Isu buruh paksa dalam sektor perindustrian, perkilangan dan pertanian menghalang produk tempatan dieksport ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, katanya.
“Sebelum ini, barangan, sarung tangan dan minyak sawit Malaysia diharamkan di AS kerana dihasilkan buruh paksa.
“Sukar untuk meyakinkan pihak berkuasa AS bahawa Malaysia mengambil semua langkah yang perlu untuk membanteras buruh paksa,” katanya. – 19 Jun 2023.
Komen