SEKURANG-KURANGNYA 13 orang maut dan ribuan penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka apabila taufan melanda di selatan Brazil, kata pihak berkuasa semalam.
Pihak berkuasa menurunkan jumlah orang yang diisytiharkan hilang di tengah-tengah cuaca ganas di negeri Rio Grande do Sul pada Khamis dan Jumaat daripada 10 kepada empat.
Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan kerosakan di berpuluh-puluh bandar di negeri itu termasuk ibu kotanya Porto Alegre dalam rentetan bencana iklim yang terbaru melanda di negara Amerika Selatan itu.
Angka kematian meningkat kepada 13 orang dengan penemuan dua lagi mayat di bandar Caraa, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas, kata agensi pertahanan awam negeri.
Seorang bayi berusia empat bulan antara yang maut, kata media tempatan. Mereka menyiarkan rakaman kereta yang dihanyutkan ke tanah perkuburan oleh angin kencang.
Seramai 3,713 orang ditinggalkan dengan keadaan rumah yang rosak dan 697 orang dipindahkan dari kawasan berisiko akibat taufan itu.
Gabenor Rio Grande do Sul Eduardo Leite melawat kawasan yang paling teruk terjejas dengan helikopter pada Sabtu bersama pegawai kerajaan dan penyelamat.
Leite berkata anggota bomba negeri menyelamatkan kira-kira 2,400 orang dalam dua hari lalu.
“Objektif utama kami pada masa ini adalah untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa manusia. Menyelamat orang yang terpencil, mencari mangsa yang hilang dan menyokong keluarga,” kata Leite.
Brazil dilanda siri bencana cuaca yang membawa maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang menurut pakar semakin teruk akibat perubahan iklim.
Sekurang-kurangnya 65 orang maut pada Februari apabila hujan lebat mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di negeri tenggara Sao Paulo. – AFP, 19 Jun, 2023.
Komen