13 terbunuh dalam pertempuran di Nigeria


Wilayah barat laut dan tengah Nigeria kerap menyaksikan keganasan maut ke atas eksploitasi tanah dan air antara komuniti pertanian dan penggembala. – Gambar EPA, 19 Jun, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA 13 maut dalam satu pertempuran di antara petani dan pengembala di tengah Nigeri semalam, kata pihak berkuasa tempatan kepada AFP semalam.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, negeri tengah Plateau itu menyaksikan kebangkitan semula keganasan antara komuniti penggembala dan petani yang berebut akses terhadap tanah dan sumber.

Wakil pengembala Fulani, Nuru Abdullahi berkata lima pengembala yang membawa lembu ternakan mereka ke pasar dihalang dan dibunuh dalam kawasan masyarakat Rawuru Jumaat lalu, disyaki didalangi ‘belia Berom’ iaitu komuniti petani.

Wakil belia Berom, Pius Dalyop berkata seramai lapan petani dibunuh di kawasan yang sama oleh pengembala Fulani.

Jurucakap polis tempatan Alfred Alagbo mengesahkan serangan terbaru dan angka kematian.

Beliau berkata ia berlaku selepas pembunuhan pengembala tetapi tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar serangan awal.

Wilayah barat laut dan tengah Nigeria kerap menyaksikan keganasan maut ke atas eksploitasi tanah dan air antara komuniti pertanian dan penggembala.

Ia menjadi lebih teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana tekanan penduduk dan perubahan iklim.

Pembunuhan diikuti dengan tindakan balas menyebabkan jenayah yang lebih umum kerana kumpulan samseng menyasarkan kampung dalam serbuan.

Mereka membunuh penduduk, melakukan rompakan dan penculikan untuk wang tebusan.

Sejak pertengahan Mei, lebih 120 orang terbunuh dalam pertempuran komunal maut di Plateau.

Lebih 3,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan itu.

Pihak berkuasa tempatan yang bimbang akan keganasan itu mengerahkan polis bergerak di beberapa daerah di Plateau untuk “memulihkan keamanan”, kata Alagbo.

Presiden baharu Nigeria Bola Tinubu yang mengangkat sumpah pada akhir Mei berdepan pelbagai cabaran keselamatan. – AFP, 19 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen