Rusia masih sekat bantuan kepada mangsa empangan pecah, kata PBB


Imej satelit Empangan Kakhovka yang pecah pada 6 Jun lalu menyebabkan sebahagian besar kawasan di wilayah Kherson tenggelam. – Gambar AFP, 18 Jun, 2023.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu semalam mendakwa Rusia masih terus menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan kawalan Moscow di timur Ukraine yang terjejas akibat empangan pecah di Kakhovka baru-baru ini.

Empangan yang pecah pada 6 Jun lalu menenggelamkan sebahagian besar kawasan di wilayah Kherson di bawah kawalan Rusia dan Ukraine menyebabkan beribu-ribu penduduk melarikan diri selain mencetuskan kebimbangan berlakunya bencana alam sekitar.

“Kerajaan Persekutuan Rusia setakat ini menolak permintaan kami untuk mengakses kawasan di bawah kawalan tentera sementaranya.

“PBB akan terus melakukan segala yang termampu untuk membantu semua mangsa yang terjejas termasuk mereka yang menderita akibat empangan pecah baru-baru ini—yang memerlukan bantuan menyelamatkan nyawa dengan segera, tidak kira di mana mereka berada.

“Kami menggesa pihak berkuasa Rusia untuk bertindak mengikut kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata penyelaras kemanusiaan PBB untuk Ukraine Denise Brown dalam satu kenyataan semalam.

Pada Sabtu pegawai di kawasan yang dikuasai Rusia mengumumkan jumlah kematian akibat bencana empangan pecah meningkat kepada 29 orang, manakala Kyiv berkata jumlah yang terbunuh di wilayahnya meningkat kepada 16, dengan 31 masih hilang.

Kyiv menuduh Moscow meletupkan empangan di Sungai Dnipro, manakala Rusia menyalahkan Ukraine. – AFP, 18 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen