Majlis ilmu Madani beri lebih kefahaman konsep negara Madani, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis ilmu Madani di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 18 Jun, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata penganjuran majlis ilmu Madani adalah selari dengan usaha memberi kefahaman mengenai maksud negara Madani yang digagaskan oleh kerajaan pimpinan beliau kepada orang ramai.

Beliau berkata ia terutamanya membabitkan nilai asas pembentukan negara Madani iaitu akidah yang kukuh, akhlak yang baik serta pembentukan sahsiah maknawiyah.

“Gunakan ini untuk menerapkan nilai dalam pelbagai bidang, dalam kemampanan ekonomi, dalam teknologi digital, dalam konsep ihsan dan rahmah untuk mengurangkan beban rakyat miskin serta pembelaan umat secara keseluruhan,” katanya.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata demikian dalam ucapan ringkas beliau ketika menghadiri majlis ilmu Madani bersama perdana menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Terdahulu, Anwar yang diiringi isteri beliau Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Kompleks Seri Perdana pada jam 7.15 malam sebelum menunaikan solat Maghrib bersama kira-kira 300 jemaah dengan dipimpin oleh imam Masjid Putra Abdul Karim Zakaria.

Perdana menteri kemudian meluangkan masa kira-kira sejam mengikuti sesi perkongsian ilmu bersama tiga tokoh jemputan - imam Masjid Al-Aqsa di Palestin Syeikh Dr Ekrima Sabri, ulama dari United Kingdom Syeikh Ahmed Mohamed Saad Al-Maliki Al-Azhari Al-Hasani dan ulama dari Gambia Syeikh Muhammad Haydara Al-Jilani. – Bernama, 18 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen