100 maut akibat cuaca panas melampau di India


Suhu mencecah sekitar 40 darjah Celsius di kebanyakan kawasan Uttar Pradesh pada Ahad. – Gambar fail AFP, 18 Jun, 2023.

KIRA-KIRA 100 orang maut dalam tempoh tiga hari lalu disebabkan cuaca panas melampau di beberapa kawasan di India.

Kebanyakan kematian dilaporkan berlaku di kawasan utara di Uttar Pradesh, dengan 54 kematian sejak Khamis.

Di Bihar, seramai 44 orang meninggal dalam tempoh 24 jam, menurut laporan laman sesawang India Today.

Seramai 23 pesakit meninggal pada Khamis, 20 pada Jumaat dan 11 pada Sabtu di hospital daerah Ballia, Uttar Pradesh, manakala 400 orang lagi dirawat di hospital disebabkan masalah kesihatan berkaitan cuaca panas.

“Terdapat kepadatan yang begitu tinggi di hospital daerah dan orang ramai terpaksa mendukung pesakit ke wad kecemasan,” menurut laporan dalam talian NDTV.

Suhu mencecah sekitar 40 darjah Celsius di kebanyakan kawasan Uttar Pradesh pada Ahad, dengan beberapa daerah mencatatkan suhu melebihi 44 darjah Celsius.

Suhu panas melampau di beberapa tempat termasuk Delhi, Rajasthan dan Haryana, mencapai suhu sekitar 40 darjah Celsius pada Mei dan Jun. – Bernama, 18 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen