TERDAPAT petunjuk tiga negara anggota Asean tidak akan menghantar wakil mereka ke perbincangan tidak rasmi pada Ahad bagi ‘libat urus semula’ dengan Myanmar, seperti yang dicadangkan oleh kerajaan sementara Thailand.
“Menteri Luar Malaysia, Zambry Abdul Kadir, tidak akan datang ke Bangkok. Tidak akan ada wakil dari Malaysia,” kata sumber kepada Bernama.
Reuters melaporkan Indonesia selaku pengerusi Asean menolak untuk menghadiri mesyuarat yang dicadangkan dan Kementerian Luar negeri Indonesia berkata mereka “tidak mengetahui” mengenai jemputan itu.
Sementara itu, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan dalam sidang media bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken di Washington, berkata ‘terlalu awal untuk libat urus semula dengan junta pada peringkat persidangan ataupun peringkat menteri luar’ kerana tidak ada petunjuk keadaan di Myanmar pulih selepas lebih dua tahun.
Kementerian Luar Thailand juga enggan mengulas mengenai perbincangan tidak rasmi itu.
Laman web berita Myanmar, The Irrawaddy sebelum ini melaporkan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai dalam sepucuk surat mencadangkan untuk menganjurkan pertemuan tidak rasmi bersama Myanmar pada 18-19 Jun.
Pertemuan itu sebahagian daripada kenyataan sebuah negara anggota Asean semasa sidang pemimpin di Indonesia pada bulan Mei yang menyatakan sudah tiba masanya bagi blok itu untuk “libat urus semula sepenuhnya dengan Myanmar pada peringkat pemimpin”, kata surat itu.
“Jika pertemuan menteri tidak rasmi ini mencapai kemajuan positif yang ketara, kami ingin mencadangkan pertemuan pemimpin berjalan seterusnya,” kata surat itu menurut The Irrawaddy.
Sejak junta menggulingkan kerajaan sivil pimpinan Aung San Su Kyi dalam kudeta pada 1 Februari 2021, Myanmar menyaksikan ketidakstabilan dengan konflik antara orang awam dan angkatan bersenjata berlaku berulang kali.
5PC, yang disepakati Asean pada April 2021 selepas kudeta tentera itu adalah; menghentikan keganasan dengan segera; mengadakan dialog dengan semua pihak yang berkepentingan; melantik seorang utusan khas untuk memudah cara mediasi; membenarkan delegasi mengunjungi dan berjumpa dengan pihak berkepentingan di Myanmar; dan membenarkan Asean menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.
Bagaimanapun, memandangkan terdapat hanya sedikit kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan 5PC, pemimpin junta Myanmar dihalang daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi Asean.
Sejak kudeta tentera, lebih daripada 3,600 orang awam terbunuh, lebih 19,000 ditahan dan lebih 1.8 juta orang hilang tempat tinggal atau melarikan diri dari negara itu, mengikut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP). – Bernama, 17 Jun, 2023.
Komen