SATU kebakaran dahsyat memusnahkan hampir 200 kedai di wilayah Herat, barat Afghanistan, menurut ketua kesatuan tempatan Abdul Wadood Faizzada, pada Sabtu.
“Kebakaran berlaku sekitar jam 3 pagi waktu tempatan di pasar Qasr-e-Herat di bandar Herat, memusnahkan 200 kedai yang menjual pelbagai barangan, terutamanya pakaian dan kosmetik, mengakibatkan kerugian berjumlah 100 juta Afghanis (sekitar AS$1.16 juta),” kata Faizzada kepada agensi berita Xinhua.
Jurucakap polis negeri Abdul Latif Insaf berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas yang berlaku pada tengah malam Jumaat tetapi berjaya dikawal dalam tempoh beberapa jam.
“Kebakaran itu tidak menyebabkan kematian atau sebarang kecederaan tetapi mengakibatkan kerugian besar kepada peniaga tempatan,” kata jurucakap itu. – Bernama, 17 Jun, 2023.
Komen