Ahli politik tak perlu terbabit perolehan aset tentera, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dasar pertahanan Malaysia harus meletakkan kesiapsiagaan yang cukup. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 17 Jun, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli politik atau mana-mana ejen luar supaya tidak terbabit dengan keputusan berkaitan perolehan aset ketenteraan.

Beliau berkata keputusan profesional untuk perolehan aset seperti pesawat, kapal dan senapang perlu dilakukan oleh tentera.

“Apabila sudah ada keputusan, boleh bincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan kos dan kita akan runding secara terus dengan pihak yang terbabit untuk mengelakkan ketirisan,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama warga pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth, Pulau Pinang.

Turut hadir Komander Pangkalan TUDM Butterworth Khairol Muzambi Salehin, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara Zahani Zainal Abidin.

Anwar berkata, dasar pertahanan Malaysia harus meletakkan kesiapsiagaan yang cukup memandangkan kelengkapan pertahanan negara buat masa ini tidak mencapai tahap kesiapsiagaan negara jiran kerana masih ada aset lama digunakan.

Perdana menteri berkata, ini disebabkan dasar lama yang tidak menyerahkan hal perolehan aset kepada tentera dan akhirnya menyebabkan berlaku banyak ketirisan susulan komisen yang tinggi.

Beliau juga berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembinaan rumah penjawat awam termasuk tentera dan membaiki kerosakan kediaman sedia ada mulai tahun depan.

“Bagaimanapun jika ada dana berlebihan, kerajaan akan segerakan langkah membaik pulih rumah tentera yang sangat memerlukan,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan bagi kecemerlangan akademik SPM 2022 dan pesakit kronik. – Bernama, 17 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen