Dr Mahathir musang berbulu ayam, kata Khairy


Jason Santos

Katanya, pemimpin pembangkang berusia 93 tahun itu tidak patut dijadikan perdana menteri sekali lagi kerana masalah yang dilanda Malaysia sekarang ini adalah akibat daripada pentadbirannya dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Mac, 2018.

PEMBANGKANG telah terpedaya dengan Dr Mahathir Mohamad yang kononnya telah berubah sedangkan bekas perdana menteri itu sebenarnya “musang berbulu ayam,” kata ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Katanya, pemimpin pembangkang berusia 93 tahun itu tidak patut dijadikan perdana menteri sekali lagi kerana masalah yang dilanda Malaysia sekarang ini adalah akibat daripada pentadbirannya dahulu.

“Sekali dah jadi diktator, selamanya akan jadi diktator.

“Saya dah senaraikan semua kesalahan dan kelemahan sepanjang pentadbiran Dr Mahathir, ketika saya membuat ucapan dasar Pemuda Umno dalam Mesyuarat Perhimpunan Agung Umno. 

“Rakyat Malaysia masih terpaksa menanggung beban yang diciptanya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Umno Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

“Sebagai contoh, banyak perjanjian berat sebelah dimeterai ketika beliau menjadi perdana menteri, seperti penswastaan besar-besaran, yang mana kebanyakan perjanjian itu menyebelahi syarikat swasta.

“Serangan terhadap sistem kehakiman negara bila dia memecat ketua hakim… masalah ini kemudiannya diperbetulkan ketika Tun Abdullah Badawi menjadi perdana menteri,” tambah menteri belia dan sukan itu.

Beliau turut menuduh Dr Mahathir terlalu menumpukan kepada pembangunan di Lembah Klang sehingga berlakunya pembangunan tidak seimbang di bahagian lain di Malaysia.

“Kepincangan pembangunan itu jelas kelihatan di Sabah dan Sarawak.

“Hanya bila kerajaan di bawah Abdullah Badawi dan Najib Razak barulah masalah yang dibuat beliau (Dr Mahathir) diperbetulkan,” kata Khairy, memetik Lebuhraya Pan Borneo sebagai salah satu contoh projek yang cuba menyeimbangkan pembangunan antara Malaysia Timur dan Barat.

Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,325 kilometer sedang dibina kerajaan persekutuan dengan kos menjangkau RM30 bilion. Bila siap, ianya akan menghubungkan Sabah, Sarawak dengan Brunei dan Kalimantan.

Sebelum ini, Khairy berkata pergerakan rakyat Malaysia untuk merosakkan undi terjadi kerana mereka kecewa dengan Dr Mahathir yang dilantik menjadi calon perdana menteri sementara Pakatan Harapan (PH) jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Khairy turut berkata yang kempen undi rosak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 adalah contoh jelas oleh golongan muda yang mereka kecewa dengan Dr Mahathir yang dilantik menjadi calon perdana menteri sementara Pakatan Harapan.

Dalam hal yang lain, Khairu berkata Karnival Kerjaya BN akan diadakan di Sabah pada 8 April ini dengan menambah bahawa program itu mensasarkan generasi muda Sabah selain membersihkan persepsi yang kononnya negara ini ketandusan peluang pekerjaan.

“Kami nak perbetulkan tanggapan yang dibuat pembangkang. Kami nak rakyat Malaysia tahu negara ini masih ada peluang pekerjaan.

“Pembangkang tak ada kerja lain selain merungut dan mengutuk. Berlainan dengan BN yang ada plan untuk jangka pendek dan panjang bagi membangunkan negara dan membantu semua rakyat Malaysia,” katanya. – 24 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ha ha ha nilah samseng melayu yg nk pecahkan kedai kopi org

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Biar berbulu ayam jangan berbulu khinzir macam kamu. Musang tak makan dedak macam kamu si khinzir.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Nordin KCD · Ulasan

  • Bersopanlah sikit terhadap orang tua.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan