Blinken adakan lawatan 2 hari ke China


Ini akan menjadi kunjungan pertama Blinken ke China dan juga lawatan pertama Setiausaha Negara AS ke Beijing sejak 2018. – Gambar AFP, 17 Jun, 2023.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken akan berkunjung ke Beijing pada 18 hingga 19 Jun ini bagi mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai penting China dalam usaha menyambung semula dialog yang terhenti selepas insiden belon pengintip seperti dilaporkan Sputnik.

Lawatan itu berlangsung di tengah-tengah ketegangan yang berterusan membabitkan hubungan bilateral termasuk sekatan AS untuk menghadkan eksport teknologi ke China serta sokongan ketenteraan Washington kepada Taiwan yang tidak dapat diterima oleh Beijing.

Ini akan menjadi kunjungan pertama Blinken ke China dan juga lawatan pertama Setiausaha Negara AS ke Beijing sejak 2018.

Kerajaan Biden mengambil masa hampir enam bulan untuk menjadualkan semula lawatan ini yang sepatutnya berlangsung pada Februari lalu.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Blinken akan bertemu dengan Presiden China Xi Jinping atau tidak.

Ketika lawatan itu, beliau berharap dapat mengadakan dialog antara negara-negara terbabit yang dimulakan oleh Presiden AS Joe Biden dan Xi semasa pertemuan mereka di Bali, Indonesia tahun lalu.

Beliau berharap komunikasi terbuka antara kedua-dua negara untuk mengurus hubungan secara bertanggungjawab termasuk membincangkan cabaran dan menangani persepsi yang salah.

Beliau juga merancang untuk memajukan kepentingan dan nilai AS termasuk bercakap secara langsung dan jujur tentang kebimbangan mengenai pelbagai isu.

Blinken berharap untuk meneroka potensi kerjasama dalam menghadapi cabaran antara AS dan China termasuk kestabilan ekonomi global, dadah sintetik haram, iklim dan kesihatan global.

Isu mengenai Ukraine juga dijangka menjadi fokus perbincangan di China.

Selepas lawatan ke Beijing, Blinken akan berlepas ke United Kingdom dan mengambil bahagian dalam Konferens Pemulihan Ukraine antarabangsa yang akan berlangsung pada 21 hingga 22 Jun di London. – Bernama, 17 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen