Kritik pakaian jururawat, Nga gesa Wan Razali mohon maaf


Ahli Parlimen PAS Wan Razali Wan Nor mendakwa pakaian seragam jururawat wanita ketat dan tidak patuh syariah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2023.

NAIB Pengerusi DAP Nga Kor Ming menggesa ahli Parlimen pembangkang Wan Razali Wan Nor memohon maaf kepada warga jururawat kerana mengkritik etika pemakaian seragam jururawat wanita yang didakwanya ketat dan tidak patuh syariah.

Nga berkata ahli Parlimen Kuantan dari PAS itu sepatutnya memberikan buah fikiran bernas bagi meningkatkan mutu kesihatan awam dan bukannya memperlekeh pakaian golongan yang banyak berjasa itu.

“Kami sangat kecewa dengan pembangkang (kerana) gagal berikan hujah bernas bagi membantu sistem kesihatan, sebaliknya pakaian mereka dijadikan bahan kritikan dan kami sangat kesal dengan kejadian ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program kemampanan komuniti bandar: Fiesta Teluk Intan, Komuniti Bandar Dekat Dihati di Teluk Intan, Perak hari ini.

Nga yang juga menteri pembangunan kerajaan tempatan berkata, pemakaian seragam jururawat dan penjawat awam negara ini adalah mematuhi etika yang ditetapkan.

Menurutnya kerajaan berdiri teguh bersama jururawat dan penjawat awam negara dan akan terus memberikan sokongan kepada golongan itu.

Wan Razali ketika membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, pada Rabu dilaporkan mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan, yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah.

Wan Razali menggesa kementerian kesihatan meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai. – Bernama, 17 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen