INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) giat membuat penyelidikan dalam usaha menghasilkan lebih banyak varian kopi bagi memenuhi permintaan susulan kekurangan biji kopi tempatan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata, kekurangan itu boleh dianggap kritikal ketika ini kerana pengeluaran kopi tempatan hanya memenuhi kira-kira 3% permintaan dalam negara.
Beliau berkata, pengeluaran kopi negara di peringkat global hanya pada kadar 0.16%, manakala kadar import kopi untuk menampung kegunaan dalam negara sebanyak 97%.
“Permintaan kopi dalam negara semakin meningkat daripada 600,000 kilogram setahun pada 2021 kepada 800,000 kilogram tahun lalu (2022), dan ia dijangka terus meningkat setiap tahun… inilah cabaran utama industri pengeluaran kopi.
“Cabaran lain pula seperti persaingan daripada komoditi lain, bantuan dana, keluasan tanah untuk penanaman, tenaga buruh, kos input, tenaga buruh dan persaingan dengan negara jiran,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa majlis perasmian pelancaran klon dan inovasi kopi Liberica baharu MAari di Mardi Kluang, Johor yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi Dr Azman Ismail.
Chan berkata, penghasilan tiga klon kopi baharu jenis Liberica yang dinamakan MKL8, MKL9 dan MKL10 itu diharap mampu menghasilkan produk kopi yang mempunyai daya tahan tinggi, selain dijangka mempunyai jualan yang baik.
Menurutnya melalui klon baharu itu teknik anak pokok menggunakan keratan tanpa pokok peranti digunakan dan ia akan dapat menjimatkan kos pengeluaran dan masa menghasilkan kopi antara 8 hingga 9 bulan berbanding 15 hingga 16 bulan sebelum ini.
“Atas usaha Mardi ini, saya lihat Johor memang tempat yang sesuai untuk penanaman kopi jenis Liberica seperti di Kluang dan Batu Pahat… tanah di kawasan ini memang subur sekali gus sesuai untuk pembangunan kopi negara.
“Mardi juga diminta untuk terus berusaha mempergiat penyelidikan dan pembangunan teknologi kopi, manakala kerajaan negeri pula perlu bersama-sama menguar-uarkan serta menyokong inovasi yang dihasilkan supaya mereka yang terbabit dalam industri kopi negara mendapat manfaatnya,” katanya.
Beliau berkata, kementerian juga menyokong perkembangan industri kopi dan bersedia menambah baik infra berkaitan seperti di kawasan ladang dan pemprosesannya. – Bernama, 17 Jun, 2023.
Komen