Sekurang-kurangnya 25 maut dalam serangan pengganas di sekolah Uganda


Menurut polis, sebuah asrama dibakar dan kedai makan dirompak di mana setakat ini 25 mayat ditemukan di sekolah itu di barat daya Uganda berhampiran sempadan DRC. – Gambar EPA, 17 Jun, 2023.

SEKURANG-kurangnya 25 orang terbunuh dalam serangan pengganas ke atas sebuah sekolah di barat daya Uganda berhampiran sempadan Republik Demokratik Congo (DRC), menurut polis Uganda pada Sabtu, lapor Sputnik.

“Malam tadi, serangan pengganas oleh pemberontak ADF (Pasukan Demokratik Bersekutu) dilaporkan berlaku di sekolah menengah Lhubirira di Mpondwe yang terletak kira-kira 2 kilometer dari sempadan DRC.

“Sebuah asrama dibakar dan kedai makaan dirompak. Setakat ini 25 mayat ditemukan di sekolah itu,” menurut polis dalam ciapan diTwitter.

Lapan mangsa lagi dikejarkan ke hospital dan dilapor dalam keadaan kritikal.

ADF ditubuhkan pada 1995 disenarai sebagai organisasi pengganas aktif di DRC dan Uganda.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyalahkan ADF atas pembunuhan ratusan orang awam sejak 2014. – Bernama, 17 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen