Penunggang motosikal suspek kemalangan maut di SUKE serah diri


Ketua Polis Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata suspek berusia 41 tahun itu membuat laporan polis kemalangan pada Jumaat di balai polis Kajang. – Gambar Facebook Balai Polis Ampang Jaya, 17 Jun, 2023.

SEORANG penunggang motosikal yang melawan arus di Lebuhraya Duta-Hulu Kelang (SUKE) yang disyaki menyebabkan kematian seorang lagi penunggang motosikal sudah menyerah diri kepada polis.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata suspek berusia 41 tahun itu membuat laporan polis kemalangan pada Jumaat di balai polis Kajang.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tapi telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan.

“Akibat kemalangan, suspek juga terjatuh dari motosikalnya dan mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Azam berkata polis tidak menahan suspek buat masa sekarang kerana dia turut cedera.

“Bagaimanapun suspek tidak ditahan kerana masih lemah akibat kecederaannya.”

“Enam saksi termasuk suspek sudah diambil keterangan,” kata Mohd Azam lagi.

Dalam kejadian Jumaat lepas, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, yang menunggang Ducati Panigale maut selepas terjatuh hampir 30 meter dari lebuh raya selepas mengelak sebuah motosikal yang melawan arus. – 17 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen