Parlimen Jepun tolak usul undi tidak percaya terhadap Kabinet Kishida


Pembangkang CDPJ mengusulkan usul undi tidak percaya di Parlimen, sehari selepas Perdana Menteri Fumio Kishida berkata beliau tidak bercadang bubar Dewan Rakyat dan mengadakan pilihan raya awal. – Gambar EPA, 17 Jun, 2023.

DEWAN Rakyat Jepun menolak usul undi tidak percaya yang dikemukakan terhadap Kabinet Perdana Menteri Fumio Kishida pada Jumaat, lapor Xinhua.

Pembangkang utama Constitutional Democratic Party of Japan (CDPJ) mengusulkan usul itu, sehari selepas Kishida berkata beliau tidak bercadang untuk membubarkan Dewan Rakyat dan mengadakan pilihan raya awal.

Usul itu susulan kegagalan perdana menteri menjelaskan mengenai pembiayaan untuk dasar-dasar penting beliau. 

Dasar itu termasuk pelan perbelanjaan besar yang kontroversi oleh Jepun untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara serta perbelanjaan bagi menangani kadar kelahiran yang semakin menurun.

Sehari sebelum itu, Kishida berkata usul undi tidak percaya itu hanya akan menjadi perkara sia-sia dan sama sekali tidak akan menjadi sebab untuk mengadakan pilihan raya awal.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga Rabu depan.

Andai usul itu diluluskan, dewan itu akan dibubarkan dalam tempoh 10 hari atau semua ahli Kabinet perlu berundur mengikut perlembagaan Jepun.

Namun, seperti apa berlaku semalam, setiap usul undi tidak percaya yang dikemukakan dalam tempoh 10 tahun lepas atau lebih di Dewan Rakyat tidak berjaya kerana dikuasai parti pemerintah Parti Demokratik Liberal. – Bernama, 17 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen