Gelombang panas landa Beijing, suhu 39 darjah celsius


Beijing keluar amaran pada tahap oren berikutan suhu tinggi diramal mencecah 39 darjah celsius hari ini, menurut pihak berkuasa cuaca tempatan. – Gambar AFP, 16 Jun, 2023.

BANDAR raya Beijing mengeluarkan amaran pada tahap oren berikutan suhu tinggi diramal mencecah 39 darjah celsius hari ini, menurut pihak berkuasa cuaca tempatan.

Ketika gelombang haba terus membahang, suhu di kebanyakan kawasan di Beijing dijangka mencecah 37 hingga 39 darjah celsius pada hari ini dan esok, lapor Xinhua.

Beijing dijangka merekodkan suhu yang lebih tinggi semasa panas terik.

“Suhu permukaan jalan akan mencecah lebih 50 darjah celsius, yang boleh menyebabkan kerosakan jalan raya, tayar kenderaan pecah, pembakaran secara tiba-tiba dan kemalangan jalan raya,” kata Ketua Pegawai Meteorologi Perbandaran, Lei Lei.

Minggu ini, lebih dua juta kilometer persegi wilayah di China yang merangkumi Beijing, Tianjin, Hebei, Henan dan Shandong, dicengkam cuaca terik, dengan suhu tinggi melebihi 35 darjah celsius.

Pada Jumaat, balai cerap negara China juga mengeluarkan amaran kuning untuk suhu tinggi.

Menurut ramalan terkini, tujuh wilayah di China dijangka menyaksikan beberapa kawasan mengalami cuaca panas melebihi 40 darjah celsius hari ini.

Gelombang haba kali ini bermula pada Rabu. Setakat 5 petang Khamis, lapan ibu kota di wilayah China merekodkan suhu tertinggi pada 2023.

Shijiazhuang, ibu kota Wilayah Hebei di utara China, mendahului dengan suhu maksimum hariannya mencecah 40.4 darjah celsius, kali pertama di bandar itu yang mencapai tahap melebihi 40 darjah celsius tahun ini.

China mempunyai sistem amaran cuaca berkod warna empat peringkat, dengan merah mewakili amaran paling teruk diikuti oren, kuning dan biru. – Bernama, 16 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen