Malaysia naik Tahap 2 laporan kes perdagang manusia


KEDUDUKAN Malaysia dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang (TIP) bagi 2023 dinaikkan ke Tahap 2 Pemerhatian berbanding Tahap 3 sebelum ini.

Tahap 2 bermaksud negara-negara yang tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum Amerika Syarikat (AS) dalam memerangi pemerdagangan manusia tetapi mempunyai usaha ke arah itu.

Menurut laporan itu, kerajaan Malaysia telah membuat pencapaian penting terhadap usaha membanteras aktviti pemerdagangan manusia, termasuk lebih banyak siasatan, pendakwaan dan sabitan ke atas pelaku dan pegawai yang terlibat.

“Kerajaan juga mengenal pasti lebih ramai mangsa; memulakan usaha dan menyediakan pembiayaan bagi meningkatkan kesedaran pemerdagangan manusia di ladang kelapa sawit; dan meningkatkan latihan termasuk menggunakan pendekatan untuk memahami trauma, pengenalan mangsa serta pindaan kepada undang-undang antipemerdagangan manusia bagi pegawai, penguatkuasa undang-undang dan penyedia perkhidmatan untuk mangsa,” katanya.

Malaysia berada di Tahap 3 Pemerhatian pada 2021 dan 2022. Sebelum itu, Malaysia di Tahap 2 dari 2018 hingga 2020.

Laporan itu juga menyebut kerajaan memudahkan lebih banyak kebebasan bergerak dalam kalangan mangsa yang menerima perkhidmatan di fasiliti kerajaan, dan memberikan lebih ramai mangsa kebenaran untuk bekerja.

Kerajaan Malaysia juga menambah pembiayaan untuk tempat perlindungan mangsa, katanya.

Meskipun membuat pencapaian penting, agensi kerajaan tidak mencapai standard minimum AS dalam beberapa bidang utama, antaranya gagal melakukan pendakwaan terhadap penyeludup buruh dalam industri pembuatan minyak sawit dan sarung tangan pakai buang. – 16 Jun 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen