MMA kecewa kenyataan ahli parlimen PAS berhubung pakaian ketat jururawat


Ravin Palanisamy

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata adalah menyedihkan apabila Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor lebih mementingkan kod pakaian jururawat berbanding masa depan dan kemampanan sistem penjagaan kesihatan. – Gambar MMA, 15 Jun, 2023.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kekesalannya terhadap seorang ahli parlimen PAS yang mengulas mengenai etika berpakaian jururawat apabila mendakwa pakaian seragam itu terlalu ketat dan tidak patuh syariah.

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata adalah menyedihkan apabila Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor lebih mementingkan kod pakaian jururawat berbanding masa depan dan kemampanan sistem penjagaan kesihatan.

“Semua jururawat di sektor awam mematuhi kod pakaian penjawat awam,” kata Muruga Raj kepada The Malaysian Insight.

“Kami percaya pakaian seragam jururawat KKM sekarang adalah praktikal kerana ia tidak menyekat pergerakan ketika jururawat menjalankan tugas mereka.

“Dalam penjagaan kesihatan, setiap orang perlu cepat berdiri dan ada masanya bersedia untuk segera menyelamatkan nyawa,” tambahnya.

Awal hari ini di Dewan Rakyat, semasa membahaskan Kertas Putih Kesihatan, Wan Razali berkata pakaian seragam jururawat “menunjukkan bentuk badan mereka”.

“Saya ingin bertanya, adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelongaran?,” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Razali berkata Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan dan Pusat Perubatan Sultan Azlan Shah di Kuantan, Pahang menyediakan pilihan etika berpakaian kepada jururawat.

Bekas ahli Parlimen Klang Charles Sabtiago membidas kenyataan yang dibuat oleh Wan Razali dengan mengatakan beliau bersikap seksis. – 15 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen