Memoir Tommy Thomas bangkitkan kebimbangan awam


Buku tulisan Tommy Thomas pada 2021 mengandungi pelbagai kontroversi, menyebabkan Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas untuk kaji pendedahan dalam buku itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu kandungan memoir bekas peguam pegara Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” membangkitkan kebimbangan awam.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan berkata oleh itu, Kabinet merasakan terdapat keperluan untuk menubuhkan pasukan petugas khas (STF) untuk menyiasat perkara tersebut.

Beliau berhujah penubuhan STF adalah selaras dengan pelaksanaan kuasa eksekutif Kabinet di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan dan pembentukan STF diluluskan oleh Kabinet, dengan tanggungjawab utamanya untuk mengumpul maklumat atau menjalankan siasatan awal terhadap kandungan buku tersebut.

“Oleh itu, memandangkan STF tertakluk kepada perintah dan terma rujukan yang ditetapkan oleh Kabinet, penubuhannya sememangnya dalam menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.

“Adalah penting untuk mengambil maklum siasatan awal adalah ke atas dakwaan kandungan buku itu,” katanya sambil menambah adalah salah untuk mengatakan penubuhan STF menyalahi undang-undang hanya kerana ia tidak wujud di bawah undang-undang.

Shamsul berkata keputusan untuk menubuhkan STF dibuat menurut kuasa eksekutif yang diberikan mengikut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan dan dibentuk secara sah mengikut undang-undang.

“Oleh itu, saman yang dikemukakan plaintif adalah remeh atau menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Oleh itu, kami menggesa mahkamah membatalkan keseluruhan saman pemula (OS) tersebut,” katanya semasa perbicaraan permohonan pasukan petugas khas dan kerajaan untuk membatalkan saman Thomas berhubung laporan siasatan mengenai kandungan bukunya.

Thomas memfailkan saman itu pada 27 Oktober, 2022 menamakan pengerusi pasukan petugas khas itu Fong Joo Chung, tujuh lagi anggota pasukan serta kerajaan sebagai defendan.

Selain Fong, pasukan petugas khas itu dianggotai Panglima Hashim Paijan, Junaidah Kamaruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K. Balaguru, Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.

Sementara itu, peguam Mervyn Lai berhujah tujuan sebenar penubuhan pasukan petugas yang “tidak sah”, dan pengeluaran laporannya yang menyalahi undang-undang, termasuk masanya adalah untuk menyerang kredibiliti plaintif.

Beliau berkata pada 6 Oktober, 2022 sekitar tarikh itu, versi laporan yang menyalahi undang-undang dengan tanda “Sulit” disiarkan di internet dan disebarkan secara meluas selepas itu.

Peguam itu berkata saman tersebut bukanlah kes biasa dan jelas yang sesuai untuk penentuan ringkasan kerana ia melibatkan persoalan undang-undang baru yang sehingga kini belum ditentukan mahkamah.

“Ia juga melibatkan penyalahgunaan jentera kerajaan, menggunakan mekanisme luar yang tidak ditetapkan oleh undang-undang untuk memburuk-burukkan dan melemparkan fitnah secara terbuka terhadap bekas peguam negara Malaysia berhubung kelakuannya semasa memegang jawatan,” katanya.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan 8 Ogos ini untuk keputusan permohonan itu.

Thomas, yang merupakan peguam negara mulai Jun 2018 hingga Februari 2020, memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – SiasatanTerhadap Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness” ‘, merupakan dokumen tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Dalam saman pemula itu, Thomas mendakwa penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan, melanggar haknya terhadap reputasinya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Buku tulisan Thomas yang diterbitkan pada Januari 2021 mengandungi pelbagai kontroversi, menyebabkan Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas pada 8 Oktober, 2021 untuk menjalankan kajian terhadap pendedahan terkandung dalam buku tersebut.

Pada 13 Oktober lepas, kerajaan menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas itu, antara lain mengesyorkan supaya Thomas disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan. – Bernama, 15 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen