Dr Mahathir buat serangan umum tidak berasas, kata Anwar


Anwar Ibrahim berkata Dr Mahathir Mohamad membuat banyak serangan umum yang tidak berasas semata-mata untuk melemahkan kredibiliti beliau sebagai perdana menteri dan kerajaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2023.

ANWAR Ibrahim berkata Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini membuat banyak serangan umum yang tidak berasas semata-mata untuk melemahkan kredibiliti beliau sebagai perdana menteri dan kerajaan Persekutuan.

Anwar berkata keseluruhan kandungan ucapannya di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” pada 18 Mac lepas adalah tindak balas yang relevan terhadap serangan, pernyataan dan kelakuan Dr Mahathir terhadapnya.

“Dalam hal ini saya berhak untuk menyangkal serangan yang tidak berasas terhadap watak, integriti dan niat baik saya sebagai perdana menteri dan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan saya,” kata Anwar dan menambah tidak ada maksud fitnah yang timbul dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau.

Presiden PKR itu berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan menerusi Tetuan Thomas Philip di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam bagi menjawab saman yang difailkan Dr Mahathir terhadapnya.

Anwar berkata saman Dr Mahathir terhadapnya juga untuk mewujudkan perpecahan kaum berikutan pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Anwar berkata ini terbukti oleh Sijil Perakuan Segera bertarikh 3 Mei lepas difailkan Dr Mahathir yang menyatakan tindakan samannya mesti dilupuskan secepat mungkin berikutan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menghadapi PRN.

Dalam penyataan pembelaanya Anwar turut membangkitkan mengenai pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd yang anak ketiga Dr Mahathir iaitu Mukhriz adalah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.

Menurut Anwar pada 15 September 2003 Telekom Malaysia Berhad mengeluarkan surat kepada Kementerian Kewangan untuk meminta antara lain kebenaran untuk mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Beliau berkata Telekom adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga serta keputusan pemegang-pemegang saham lain.

“MKD berada di bawah kawalan dan arahan plaintif kerana beliau adalah perdana menteri dan menteri kewangan. Pada 7 Oktober 2003, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat untuk meluluskan permohonan Telekom untuk rundingan terus. Selepas itu, rundingan terus yang berkaitan antara Telekom dan Opcom berlaku antara Oktober dan November 2003,” katanya.

Menurut Anwar sebuah lagi syarikat berkaitan dengan ahli keluarga plaintif iaitu Opcom Cables Sdn Bhd diberikan kontrak bernilai RM11.157 juta oleh Telekom pada 14 Mei 2018 bagi pemasangan dan pemulihan perkhidmatan Unifi.

Beliau mendakwa kontrak rakan Unifi itu diberikan kepada Opcom Cables empat hari setelah Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 10 Mei 2018. 

“Kontrak tersebut juga diberikan sebelum pembentukan jemaah menteri baharu dan tanpa kelulusan mereka. Menteri-menteri kabinet hanya mengangkat sumpah pada 2 Julai 2018,” katanya.

Anwar berkata sebuah lagi syarikat milik ahli keluarga Dr Mahathir iaitu Kencana Petroleum Berhad menerima AS$220 juta (RM836 juta) daripada Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC) atau Petronas untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 1998.

Defendan berkata transaksi-transaksi itu berlaku di bawah bidang kuasa atau arahan Dr Mahathir semasa beliau memegang jawatan perdana menteri dan menteri kewangan.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Mei lepas Dr Mahathir mendakwa pada 18 Mac 2023, Anwar memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.

Menurut Dr Mahathir antaranya kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Oleh itu plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta, ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua kenyataan-kenyataan fitnah. – Bernama, 15 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen