PRESIDEN Joko Widodo memuji penyanyi Indonesia Putri Ariani atas kejayaan meraih “Golden Buzzer” di program America’s Got Talent yang sekali gus menjadi sumber inspirasi buat generasi muda.
Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi menggesa generasi muda untuk tampil menyerlahkan bakat dengan yakin serta mencontohi dedikasi Putri Ariani yang pintar mengembangkan bakat.
“Tidak ada halangan jika anda mempunyai kemahuan yang kuat serta mahu bekerja keras,” katanya semasa menerima kunjungan Putri Ariani yang ditemani kedua ibu bapanya di Istana Merdeka semalam.
Semasa uji bakat musim ke-18 di Amerika Syarikat minggu lepas, Putri Ariani membawakan lagu ciptaannya bertajuk “Loneliness”.
Persembahan yang memukau juri dan penonton diteruskan dengan lagu kedua “Sorry Seems to Be the Hardest Word”, dipopularkan Elton John, sekali gus diberikan “Golden Buzzer” oleh juri Simon Cowell.
“Golden Buzzer” melayakkan Putri Ariani masuk ke peringkat live show secara automatik pada Ogos dan penonton boleh mengundi.
Jokowi mengajak 53 juta pengikut Instagramnya memberikan sokongan dan mengundang Putri Ariani ke sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos jika tidak mengganggu jadualnya kerana persiapan pertandingan perlu diutamakan.
Putri Ariani menghargai serta berterima kasih di atas dorongan Jokowi kepadanya termasuk wang saku yang disumbangkan untuk meringankan perbelajaan semasa menyertai pertandingan.
Dalam pertemuan itu, beliau berkata: “Segala yang Putri lakukan menunjukkan kalau ‘we’re able, we’re capable, and we’re equal’.
“Pada saya tiada lagi halangan, kita jangan menunggu peluang sebaliknya ciptakan peluang untuk diri sendiri. Ubah ‘insecure’ jadi bersyukur, kurangkan ‘overthinking’ dan jadi ‘positive thinking’,” katanya.
Beliau turut mendendangkan dua lagu ciptaan sendiri bertajuk “Loneliness” dan
“Permata Indah Dunia” diiringi alunan piano di hadapan Jokowi. – Bernama, 15 Jun, 2023.
Komen