TIADA keperluan bagi kerajaan untuk mendedahkan butiran perjanjian konsesi Lebuhraya PJ Dispersal Link (PJD Link) kepada umum buat masa ini, kata Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira implikasi undang-undang dan faktor lain, katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pembukaan fasa dua Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Alam Damai, hari ini.
Cadangan pembinaan projek PJD Link bertujuan untuk menyuraikan kesesakan trafik dari Bandar Utama ke Kinrara melalui kawasan Petaling Jaya.
Ia selain itu akan menyediakan laluan alternatif ke Lebuhraya Damansara-Puchong, yang ketika ini beroperasi melebihi kapasiti pada waktu puncak.
Nanta mengulas gesaan ahli-ahli Parlimen di kawasan Petaling Jaya minggu lalu supaya butiran perjanjian konsesi PJD Link dinyahklasifikasi.
Mereka berkata butiran perjanjian itu perlu didedah kepada umum kerana ia memberi kesan kepada penduduk.
Ahli Parlimen Subang Wong Chen minggu lepas berkata jika perjanjian tersebut tidak didedahkan, sebagai alternatif kerajaan perlu memberi akses penuh kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti butirannya.
“Jawapan kerajaan mengecewakan,” katanya seperti dilapor media, menambah perjanjian itu tidak patut diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA). – 15 Jun 2023.
Komen