Anwar bangkit kes KPB, Kencana, Opcom, Perwaja


Perdana Menteri Anwar Ibrahim membangkitkan perkara itu dalam pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam ke atas saman dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun 2023.

ANWAR Ibrahim mendakwa Dr Mahathir Mohamad menggunakan kedudukannya sewaktu menjadi perdana menteri dan menteri kewangan untuk memberi kontrak bernilai jutaan ringgit kepada keluarga.

Beliau membangkitkan perkara itu dalam pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam ke atas saman dikemukakan bekas perdana menteri tersebut.

Dalam pembelaan itu, Anwar berkata ia memberi alasan untuk mengesyaki Dr Mahathir antara lain menggunakan jawatannya bagi memperoleh faedah kewangan untuk ahli keluarganya dan kroninya.

Perdana menteri antara lain menyebut tindakan Dr Mahathir menyelamatkan firma Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) sekitar 1997.

Menurut Anwar, KPB yang kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd melibatkan Mirzan, anak lelaki Dr Mahathir yang merupakan pemegang saham majoriti.

Langkah penyelamatan itu, yang berlangsung semasa Krisis Kewangan Asia, melibatkan pembelian saham KPB oleh syarikat petroleum negara Petronas dan juga syarikat perkapalan MISC.

Tindakan Dr Mahathir membolehkan KPB yang kerugian lebih RM189 juta pada akhir 1997 melapor keuntungan lebih RM126 juta pada akhir 1998, kata Anwar.

Selain itu, Anwar juga membangkitkan dua kontrak rundingan secara terus antara Telekom dengan Opcom Sdn Bhd, satu pembekal gentian optik yang melibatkan anak-beranak Dr Mahathir.

Salah satu kontrak itu melibatkan jumlah RM214 juta semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan menteri kewangan sekitar 2003.

Seterusnya Opcom diberi kontrak RM11 juta oleh Telekom empat hari selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan perdana menteri ketujuh.

“Kontrak diberikan sebelum pembentukan jemaah menteri baharu dan tanpa kelulusan Kabinet. Menteri Kabinet untuk tempoh tersebut hanya mengangkat sumpah pada 2 Julai 2018,” katanya.

Firma Opcom antara lain dipimpin Mukhriz Dr Mahathir, isterinya Norzieta Zakaria dan seorang lagi anak Dr Mahathir, Mirzan, kata Anwar.

Anwar Ibrahim mendakwa Dr Mahathir Mohamad menggunakan kedudukannya sewaktu menjadi perdana menteri dan menteri kewangan untuk memberi kontrak bernilai jutaan ringgit kepada keluarga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun 2023.

Anwar juga membangkitkan mengenai lesen besar diperolehi Kencana Petroleum Bhd oleh Petronas sewaktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan menteri kewangan pada 2002.

Beliau menyebut Kencana melibatkan Mokhzani, seorang lagi anak lelaki Dr Mahathir.

“Plaintif berkuasa keluar sebarang arahan kerana Petronas beroperasi sebagai entiti milik penuh kerajaan Malaysia,” katanya.

Turut dibangkitkan Anwar tindakan menyelamatkan firma Perwaja Steel yang menurutnya diurus secara tidak baik sehingga memudaratkan kerajaan menanggung liabiliti hampir RM6 bilion.

Anwar berkata, kes sekitar tahun 1988 itu satu contoh tindakan Dr Mahathir melindungi personaliti perniagaan yang rapat dengan bekas perdana menteri itu dan menggalakkan amalan kronisme.

Kenyataan pembelaannya difailkan oleh tetuan Thomas Philip di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui sistem e-filing malam tadi.

Selain itu, ia memberi alasan bahawa Dr Mahathir juga menggunakan agenda serta dasar ekonomi Bumiputera untuk memperkayakan ahli-ahli keluarganya serta kroni.

Tindakan itu seterusnya membawa kesan negatif serta kemerosotan ekonomi dan kewangan negara, kata Anwar lagi.

Ia menjawab saman fitnah RM150 juta difailkan Dr Mahathir pada awal bulan lalu berhubung ucapan Anwar di Kongres Nasional Khas PKR pada Mac lalu.

Dalam ucapan itu, Anwar membidas pemimpin Melayu yang menurutnya memperbodohkan rakyat dengan amaran komuniti itu berdepan masa depan gelap.

Kenyataan memperjuangkan agenda Melayu itu hanya ditimbulkan apabila pemimpin itu tidak lagi berkuasa, katanya dalam ucapan sewaktu merasmikan Kongres Nasional Khas PKR pagi ini.

Dalam kenyataan pembelaannya, Anwar turut meminta mahkamah menilai ucapannya itu sepenuhnya.

Dr Mahathir menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta. – 15 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen