LALUAN baru Balkan melalui Bosnia dibuka kepada pendatang, empat tahun selepas krisis yang menyebabkan lebih 1 juta orang mendarat di pantai Eropah.
Ratusan ribu orang melarikan diri daripada peperangan dan kemiskinan di Timur Tengah, Asia dan Afrika, mengambil laluan Balkan di barat laut Greece pada 2015 dan 2016.
Laluan ini ditutup pada Mac 2016 dan hingga saat ini tidak ramai yang masih menggunakan laluan berkenaan bagi mengelak Bosnia dan kawasan pergunungannya.
Sebaliknya mereka memilih laluan melalui Serbia sebelum mengelak pihak berkuasa Croatia dan Hungary untuk sampai ke Kesatuan Eropah (EU).
Tetapi kini terdapat laluan alternatif bagi migran dari Greece melalui Albania, Montenegro dan Bosnia.
Laluan itu, menurut sumber diplomatik barat, sama dengan yang diambil oleh pengedar senjata dan dadah, menunjukkan rangkaian pemerdagangan manusia sudah lama ada.
Ribuan dibayar kepada penyeludup manusia
Seorang wartawan Ahmed Wessam, yang bercakap dengan AFP di Sarajevo, meninggalkan bandar timur laut Hassake sebulan lalu dengan membayar sindiket untuk sampai ke Eropah.
“Seribu dolar (800 euro) untuk pergi dari Turki ke Greece, seribu euro untuk pergi dari Greece ke Albania dan seterusnya,” kata Wessam kepada AFP.
Menurut pihak berkuasa Bosnia, sejak awal tahun 700 pendatang memasuki negara ini secara haram dan hampir 800 berjaya dipintas di sempadan.
Kebanyakan mereka adalah warga Syria, Pakistan, Libya atau Afghanistan.
Pihak berkuasa bimbang penghujung cuaca sejuk akan menyebabkan pertambahan mendadak dalam jumlah pendatang.
“Kami tidak mempunyai kapasiti untuk menerima ribuan pelarian ... walaupun mereka tidak mahu tinggal di Bosnia,” kata Perdana Menteri Denis Zvizdic baru-baru ini.
Ketua Doktor Tanpa Sempadan (MSF) di Balkan Stephane Moissaing menolak kebimbangan mengenai berulangnya krisis pendatang pada 2015.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Bosnia perlu “mengendalikan (keadaan) dengan cara yang berperikemanusiaan, agar ia tidak menjadi krisis kemanusiaan yang sebenar,” katanya.
Pemampuan penerimaan negara kini terhad kepada pusat pencari suaka berhampiran Sarajevo, dengan ruang untuk hanya 154 orang.
Keadaan “bertambah rumit,” kata Menteri Keselamatan Bosnia Dragan Mektic baru-baru ini yang menyatakan kini terdapat antara 45,000 hingga 50,000 pendatang di antara Greece dan Bosnia, kebanyakannya mencuba nasib mereka melalui Bosnia.
Sempadan dengan Croatia, negara anggota EU, adalah 1,000 kilometer (600 batu) dan Sarajevo mempunyai hanya 2,000 pegawai polis sempadan.
Menurut Nidzara Ahmetasevic, seorang sukarelawan yang bekerja dengan pendatang di Sarajevo, jumlah pendatang di negara ini “sekurang-kurangnya dua kali ganda” daripada angka rasmi yang didedahkan.
Menanti kelahiran bayi
Pada mulanya bertujuan dijadikan asrama di pinggir bandar Sarajevo, bangunan besar di mana Wessam dan saudaranya tinggal mempunyai bilik yang dilengkapi tandas.
Rumah itu disediakan oleh seorang warga Bosnia yang tinggal di luar negara.
Samira Samadi, 35, seorang lagi pendatang yang tinggal di sana, meninggalkan bandar Ispahan, Iran pada awal 2017 bersama suaminya.
Dia mengambil kesempatan daripada lawatan doktor MSF untuk memeriksa sama ada kehamilannya berjalan dengan lancar.
“Saya mahu pergi ke Jerman tetapi ... kerana isteri mengandung, kami tidak boleh meneruskannya,” kata suaminya Anoush Orak.
“Kami mungkin akan menunggu di sini untuk kelahiran anak kami.”
Pasangan itu cuba memasuki Croatia secara haram, tetapi salji dan hutan menjadi batu penghalang.
Bagaimanapun, Wessam akan bergerak dalam tempoh “seminggu, mungkin 10 hari”.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menyeberangi sempadan tetapi kami akan mencuba dan mencuba semula. Kami sudah menyeberanginya beberapa kali,” katanya. – AFP, 24 Mac, 2018.
Komen