DAP terbuka rundingan kerusi tetapi penyandang perlu dihormati, kata Loke


Noel Achariam

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pertukaran kerusi adalah perkara biasa dalam mana-mana rundingan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2023.

DAP terbuka kepada perbincangan mengenai peruntukan kerusi untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang tetapi penyandangnya perlulah dihormati, kata setiausaha agung parti itu Anthony Loke.

“Prinsip itu (penyandang) sangat penting dalam mana-mana rundingan.

“Memandangkan setiap parti menang (kerusi DUN) kita perlu menghormatinya. Sudah tentu dalam rundingan ada tuntutan untuk kerusi penyandang, tetapi kita terbuka untuk membincangkannya,” katanya pada BFM 89.9 Breakfast Grille.

Loke mengulas kerjasama DAP dengan Umno pada PRN kali ini.

Katanya, pertukaran kerusi adalah perkara biasa dalam mana-mana rundingan.

“Kami tidak kata, kami tidak boleh berunding langsung. Tetapi, sudah tentu akan ada pertukaran kerusi. Jadi, itu perkara biasa.”

Loke berkata apabila mereka membentuk kerajaan perpaduan, salah satu persefahaman utama ialah mereka tidak akan bertanding sesama sendiri.

“Saya memberitahu rakan-rakan dalam Pakatan Harapan bahawa kita mesti melihat kembali sejarah bagaimana Barisan Nasional dan Perikatan Nasional tidak berfungsi dengan baik dan meletup.

“Dalam beberapa bulan selepas Langkah Sheraton mereka mula berlawan dalam PRN Sabah, Johor dan Melaka.”

Tambahnya, sebarang pertandingan antara DAP dan Umno akan merisikokan kerajaan perpaduan.

“Ia adalah resipi untuk bencana, perpecahan gabungan.

“Jika kita mahu menjadikan kerajaan ini berfungsi, kita perlu bekerjasama dari segi politik.”

Kelantan adalah antara enam negeri pertama yang mengumumkan pembubaran DUN pada 22 Jun.

Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu dijangka akan menyusul tidak lama lagi. – 15 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen