MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan Rosmah Mansor mendapatkan pelepasan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya Nooryana Najwa Najib di Singapura.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan P Ravinthran membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah daripada peguam Jagjit Singh yang mewakili Rosmah.
Turut bersidang adalah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azman Abdullah.
Permohonan Rosmah tidak dibantah pihak pendakwaan.
“Memandangkan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, permohonan ini dibenarkan,” kata Ravinthran.
Hakim Ravinthran berkata pasport akan dipulangkan sementara bermula hari ini untuk Rosmah berada di Singapura sehingga 7 Julai.
Rosmah sebelum ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya selama empat minggu bermula 6 Jun sehingga 7 Julai ini.
Notis permohonan tersebut difailkan pada 2 Jun lalu menerusi Tetuan Akberdin & Co.
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu dikehendaki menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selewat-lewatnya 7 Julai.
Rosmah sebelum ini dibenarkan untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya pada 15 Oktober 2021 untuk melawat Nooryana yang ketika itu dijangka melahirkan anak kedua di Singapura serta melawat salah seorang daripada cucunya yang tidak sihat pada 21 Mac lalu.
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 1 September 2022 menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – 15 Jun 2023.
Komen