Cari anak perempuan saya, bukannya pelawak AS, kata Indira Gandhi


Ravin Palanisamy

Indira Gandhi menunjukkan gambar anak perempuannya Prasana Diksa yang sudah 14 tahun tidak ditemuinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun 2023.

POLIS harus fokus mencari Prasana Diksa daripada meminta bantuan Interpol untuk menjejaki pelawak Jocelyn Chia, kata ibu yang kecewa M Indira Gandhi.

Indira, bekas guru tadika yang kini menjadi tutor, mengkritik Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani selepas beliau mengumumkan polis Malaysia sedang mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan Chia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) kerana menghina dan memperlekehkan rakyat Malaysia ketika persembahan komediri di Comedy Cellar di New York, AS baru-baru ini.

Indira mendakwa KPN tidak menunjukkan minat yang sama untuk mengesan anak perempuan atau bekas suaminya mualaf Muhammad Riduan Abdullah, yang masih dalam buruan.

“Saya berasa amat kecewa dengan kenyataan KPN,” kata Indira kepada The Malaysian Insight.

“Saya memperjuangkan kes ini selama 14 tahun sekarang, dan polis tahu ini adalah kes berprofil tinggi, tetapi mereka terus mengabaikannya.

“Saya tidak meminta polis memihak kepada saya dalam kes ini, tetapi kami menggunakan semua cara undang-undang dan mereka masih tidak melakukan apa-apa mengenai perkara ini.

“Jika isu Chia begitu besar baginya sehingga mendapatkan bantuan Interpol, bagaimana pula dengan anak perempuan saya yang hilang selama 14 tahun? Kami pun tidak tahu sama ada dia masih hidup atau tidak.”

Pada Selasa, Acryl Sani berkata polis akan mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan bekas warga Singapura Chia kerana menghina Malaysia menggunakan platform AS.

Menurut laporan, KPN berkata permohonan akan difailkan dengan Interpol untuk mendapatkan identiti Chia dan lokasi terkini.

Video Chia menghina Malaysia dalam rancangan komedi baru-baru ini bertajuk “Singapore vs Malaysia” tular.

Sindiran peguam yang menjadi pelawak itu menyentuh mengenai penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, serta keadaan pembangunan di Malaysia.

Indira berkata beliau keliru dengan pihak polis yang tidak dapat mengesan anak perempuannya.

“Ia adalah satu penghinaan. Acryl Sani ialah KPN keenam sekarang sepanjang kes saya dan beberapa kerajaan bertukar tetapi tiada yang dapat mengesan anak perempuan saya.

“KPN sekarang menunjukkan minat yang tinggi dalam sketsa komedi, tetapi gagal dalam kes saya setakat ini.”

Bekas suami Indira K Padmanathan, yang memeluk Islam dan menukar namanya kepada Muhammad Riduan, menculik Prasana daripada Indira ketika berusia 11 bulan.

Riduan mengislamkan Prasana dan dua anak lain tanpa pengetahuan Indira.

Pada 2018, dalam keputusan penting, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama unilateral kanak-kanak itu dan memberikan hak penjagaan Prasana kepada ibunya.

Bagaimanapun, polis tidak dapat menemui kanak-kanak itu dan bapanya, yang mempunyai waran tangkap.

Walaupun kesnya menjadi contoh bagi penukaran agama yang sama di Malaysia, Prasana terus dinafikan penjagaan seorang ibu dan haknya untuk membesar sebagai seorang Hindu. – 15 Jun 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen