TOKOH ekonomi China Liu He dan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Steven Mnuchin “bersetuju sambung berkomunikasi” mengenai isu perdagangan, lapor agensi berita rasmi Xinhua.
Kedua mereka bercakap melalui telefon ketika tegangan kian memuncak selepas Presiden AS Donald Trump pada Khamis meluluskan tarif sebanyak $AS60 bilion kepada import daripada China.
Tarif itu disasarkan Trump kepada sektor teknologi Amerika yang “dicuri” Beijing.
Liu He, pegawai Parti Komunis China berkelulusan Harvard itu dijangka memantau sektor ekonomi dan kewangan China. Liu pada Isnin diangkat sebagai pemain penting jawatan itu.
Menurut Xinhua, melalui panggilan telefon, Liu menuduh siasatan AS itu sebagai pelanggaran undang-undang perdagangan antarabangsa selain memberitahu Mnuchin yang Beijing bersedia mempertahankan kepentingannya.
“China bersedia mempertahankan kepentingan nasional dan berharap kedua belah pihak akan sentiasa bersikap rasional dan saling bekerjasama untuk mengawal kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS,” kata Liu seperti dipetik oleh Xinhua.
Pada Jumaat, China memberi amaran terhadap AS yang negara itu “tidak takut akan perang perdagangan” berhubung ancaman tarif bernilai $AS3 bilion barangan AS. – AFP, 24 Mac, 2018.
Komen