Aerotrain KLIA dijangka mula operasi tahun depan, kata Loke


Kalidevi Mogan Kumarappa

Perkhidmatan aerotrain di KLIA dihentikan sementara bermula 2 Mac lalu atas faktor keselamatan, susulan insiden tren terkandas. – Gambar Facebook MAHB, 14 Jun 2023.

PERKHIDMATAN Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beroperasi semula tahun depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, perkhidmatan aerotrain dihentikan sementara susulan tren berkenaan terkandas Mac lalu.

“Projek naik taraf sistem dan ganti sistem tren itu sudah dianugerahkan kepada sebuah syarikat dan tren pertama akan siap dalam masa 12 bulan. Jadi aerotrain akan kembali beroperasi tahun depan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang menyoal status aerotrain yang dihentikan buat sementara yang secara langsung menjejaskan imej KLIA dan Malaysia.

Menurut Loke, aerotrain itu sudah berusia lebih 25 tahun dan sepatutnya digantikan lebih awal, tetapi kelewatan membuat keputusan menyebabkan perkhidmatan tren itu terpaksa dihentikan.

“Memang ia memberi imej yang negatif kepada negara. Disebabkan itu saya memberi tekanan kepada Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) untuk melaksanakan proses baik pulih itu jadual yang ditetapkan.

“Projek ini juga bukan ditanggung Kementerian Pengangkutan tetapi di bawah MAHB,” katanya.

Susulan keputusan menggantung operasi tren itu, sebanyak 18 buah bas perantara disediakan MAHB untuk kemudahan penumpang.

“Bas tersebut beroperasi sepanjang masa bagi mengambil dan menurunkan penumpang dari balai pelepasan ke terminal satelit,” kata MAHB sebelum ini.

Dalam insiden Mac lalu, sebuah aerotrain terhenti secara tiba-tiba di atas landasan, dan sebuah lagi aerotrain yang sepatutnya digunakan bagi membantu membawa penumpang turut mengalami masalah teknikal, sehingga menyebabkan kesemua 114 penumpang terpaksa berjalan kaki sejauh 400 meter ke terminal satelit.

Kejadian itu merupakan insiden kedua penumpang terpaksa berjalan di atas landasan disebabkan masalah teknikal tren berkenaan, sejak mula beroperasi 25 tahun lalu.

Menurut MAHB, kerja-kerja pembaharuan dijalankan dengan kos RM700 juta. – 14 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen