Usaha serap SPRM dalam EAIC diteliti, kata Ramkarpal


Kalidevi Mogan Kumarappa

KERAJAAN sedang meneliti cadangan menyerap agensi antirasuah dalam Suruhanjaya Agensi Penguatkuasaan (EAIC), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ramkarpal Singh.

Menteri undang-undang dan reformasi institusi itu berkata, satu nota jemaah menteri pada awalnya dikemukakan ke Kabinet pada 19 April lalu bagi membincangkan hala tuju usaha itu.

Ramkarpal memberitahu Dewan Rakyat, satu jawatankuasa penaja seterusnya ditubuhkan dan perbincangan di peringkat jawatankuasa kerja diadakan bagi membincangkan terma rujukannya.

“Pada 2 Mei lalu, satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Azalina Othman  dan dihadiri pesuruhjaya AEIC, pesuruhjaya SPRM dan Jabatan Peguam Negara, telahpun diadakan,” katanya.

Seterusnya, satu perbincangan di peringkat jawatankuasa kerja telah diadakan untuk membincangkan terma rujukan berhubung isu berkenaan.

Ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri seterusnya akan meneliti pandangan agensi berkepentingan dan badan bukan kerajaan berhubung isu itu, katanya.

Ramkarpal juga berkata jawatankuasa penaja akan mengesyorkan hasil dapatan bagi mendapatkan ketetapan dasar oleh Jemaah Menteri sebagai tindakan susulan.

Beliau menjawab soalan Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang bertanya jika SPRM benar-benar akan diletakkan bawah EAIC.

Langkah itu bagi mewujudkan kawalan tatatertib efektif dan berkesan bagi meningkatkan integriti penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan, katanya.

EAIC ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) yang telah diwartakan pada 3 Sept 2009 dan mula berkuat kuasa pada 1 April 2011.

Sebanyak 21 agensi penguatkuasaan disenaraikan bawah EAIC namun SPRM dikecualikan melalui peruntukan bawah subseksyen 1(5) Akta 700. – 14 Jun, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen