Thailand siasat gerakan pelajar adakan referendum 'Negara Patani'


Pihak berkuasa Thailand menyiasat gerakan menubuhkan negara Islam merdeka - 'Negara Patani' yang bertentangan dengan perlembagaan dan membahayakan keselamatan negara. – Gambar AFP, 14 Jun, 2023.

BEBERAPA agensi keselamatan Thailand sedang menyiasat gerakan pelajar yang didakwa memperjuangkan referendum awam untuk menubuhkan “Negara Patani” di wilayah selatan Thailand.

Pemerintah Komander Santi Sakultanak dari Markas Tentera ke-4 menyatakan Jabatan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (Isoc) Wilayah 4, yang mengetuai siasatan itu, meningkatkan usaha dalam mengumpul maklumat dan bukti.

Beliau berkata agensi keselamatan memantau aktiviti mereka.

“Panggilan untuk referendum awam bagi menubuhkan negara Islam merdeka - ‘Negara Patani’, adalah bertentangan dengan perlembagaan dan membahayakan keselamatan negara,” katanya.

Pada 7 Jun, “Pelajar Bangsa,” yang mewakili pelajar universiti dari wilayah-wilayah selatan, dilapor menganjurkan referendum olok-olok semasa satu forum untuk meninjau pendapat mengenai sama ada “rakyat Patani” harus mempunyai hak penentuan diri dan mengadakan referendum yang diperuntukkan secara sah mengenai kemerdekaan.

Forum berjudul “Penentuan Diri dan Kedamaian Patani” telah diadakan di Universiti Pangeran Songkhla di Pattani.

Media tempatan melaporkan semasa acara itu, peserta diberikan kertas undi yang mengajukan soalan mengenai hak individu di wilayah sempadan selatan untuk mengundi mengenai penubuhan “Negara Patani”, atau pemisahan Yala, Pattani, Narathiwat dan empat daerah di Songkhla (Thepa, Na Thawi, Chana, dan Saba Yoi) dari Thailand. – Bernama, 14 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen