Anwar umum kenaikan 15% elaun pelajar tajaan JPA di luar negara


Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan 15% dalam Elaun Sara Hidup pelajar tajaan JPA di luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2023.

PELAJAR tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menerima kenaikan 15% dalam Elaun Sara Hidup, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Bagaimanapun ini tidak terpakai bagi pelajar JPA yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di UK kerana elaun mereka sudah dinaikkan oleh kerajaan terdahulu pada 7 November tahun lepas.

Anwar juga mengumumkan kenaikan RM100 bagi Kadar Elaun Sara Hidup pelajar tajaan JPA dalam negara bermula 1 Julai ini.

“Ini akan menelan belanja kerajaan RM52.03 juta dalam tempoh enam bulan mulai Julai dan memanfaatkan 43,595 pelajar tajaan JPA,” katanya dalam satu kenyataan petang ini. 

Anwar berkata kenaikan elaun itu adalah salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan kenaikan kos sara hidup terutama bagi pelajar B40 yang tinggal di bandar.

“Inisiatif menyemak semula elaun ini membolehkan pelajar tajaan kerajaan menumpukan usaha mencapai kecemerlangan akademik tanpa perlu risau tentang kewangan.

“Ini juga akan memastikan biasiswa kerajaan yang ditawarkan kepada pelajar kekal relevan dan berprestij,” katanya.

September lalu bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan JPA menyemak semula elaun pelajar yang melanjutkan pengajian di Britain.

Memetik tinjauan Mara-PSD pada Februari 2022 tentang kehidupan di bandar seperti London dan Edinburgh, Ismail berkata 60% pelajar tajaan Mara dan JPA yang majoritinya berada dalam B40 bergelut dengan perbelanjaan harian.

Beliau berkata purata perbelanjaan bulanan untuk sewa rumah dan bil utiliti di bandar-bandar utama adalah antara RM2,733 dan RM3,990.

Tambahnya lagi ini berjumlah 60-70% daripada elaun yang diterima oleh pelajar. – 13 Jun 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen