Sarawak komited capai masa depan karbon sifar bersih, kata Abang Johari


Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg berkata mereka berhasrat menjadikan negeri itu sebagi hab tenaga bersih di rantau ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2023.

KERAJAAN Negeri Sarawak mengulangi komitmen mencapai masa depan karbon sifar bersih dan menerajui pelbagai inisiatif tenaga bersih bagi membentuk asas ekonomi yang mampan serta bertenaga.

Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg berkata pada masa sama mereka juga berhasrat menjadikan negeri itu sebagi hab tenaga bersih di rantau ini.

“Saya dengan sepenuh hati percaya ekonomi rendah karbon bukanlah permainan campur-tolak sebaliknya adalah satu usaha menang-menang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Minggu Tenaga Antarabangsa 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata tenaga bersih akan memperkasa ekonomi hijau Sarawak, mewujudkan pekerjaan baharu dalam sektor dan industri yang mampan alam sekitarnya.

“Kerajaan Negeri Sarawak meletakkan asas ekonomi hijau kami untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan di rantau ini,” katanya.

Abang Johari juga berkata Sarawak berhasrat menjana lebih 15 peratus pendapatan daripada pasaran asing termasuk pulangan daripada eksport tenaga.

“Dengan mengeksport tenaga boleh diperbaharui ke negara jiran, kami boleh memanfaatkan sumber asli dan meletakkan diri sebagai pelopor dalam peralihan tenaga di seluruh rantau ini,” katanya. – Bernama, 13 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen