PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan persidangan ikrar untuk Sudan yang dilanda perang, di Geneva pada 19 Jun, kata seorang jurucakap pada Isnin.
“Akan ada acara ikrar peringkat tinggi untuk menyokong pelan tindak balas kemanusiaan di Sudan dan rantau ini,” lapor Agensi Anadolu memetik Jurucakap PBB Stephane Dujarric.
Persidangan itu akan dianjurkan bersama oleh Mesir, Jerman, Qatar, Arab Saudi dan Kesatuan Eropah, katanya.
Negara Afrika itu diselubungi keganasan akibat konflik antara Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Situasi kemanusiaan mencapai “titik kemusnahan” di Sudan, menurut PBB dengan barangan penting untuk kelangsungan hidup rakyat semakin berkurangan di pusat bandar yang paling teruk terjejas, terutama Khartoum.
Lebih 13.6 juta kanak-kanak di Sudan memerlukan bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa, jumlah tertinggi pernah dicatatkan di negara itu di tengah-tengah pertempuran sengit, menurut Unicef.
Menurut PBB, lebih 700 orang terbunuh, termasuk 190 kanak-kanak dan 6,000 lagi cedera.
Lebih satu juta penduduk hilang tempat tinggal dan lebih 840,000 telah mencari perlindungan di kawasan luar bandar dan negeri lain manakala 250,000 lagi telah melintasi sempadan Sudan.
Perselisihan faham tercetus sejak beberapa bulan kebelakangan ini antara kedua-dua pihak tentera mengenai integrasi RSF ke dalam angkatan bersenjata—syarat utama perjanjian peralihan Sudan dengan kumpulan politik.
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak musim gugur 2021, apabila tentera memecat kerajaan peralihan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat dengan golongan politik melihat tindakan itu sebagai “rampasan kuasa”.
Tempoh peralihan yang bermula pada Ogos 2019 selepas penyingkiran Presiden Omar al-Bashir, dijadual berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024. – Bernama, 13 Jun, 2023.
Komen