Sekatan Qatar boleh beri kesan buruk kepada Tebing Gaza


Sejak serangan Israel pada 2014, Qatar merupakan penyumbang terbesar untuk pembinaan semula infrastruktur di Tebing Gaza. - Gambar AFP, 6 Jun, 2017.

SEKATAN negara Teluk kepada Qatar boleh memberi kesan buruk kepada pembinaan semula Tebing Gaza yang dilakukan Hamas, di mana ia memberikan sokongan kewangan yang besar, ketua badan kemanusiaan memberikan amaran.

Qatar ialah salah satu negara penyumbang terbesar untuk membangunkan kembali Palestin yang rosak teruk dengan membiayai pembinaan semula banyak kemudahan infrastrukturnya sejak perang dengan Israel pada 2014.

Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan dengan Qatar Isnin lalu, menuduhnya menyokong keganasan.

Riyadh, Cairo, Abu Dhabi dan Manama juga menutup ruang udara mereka kepada pesawat Qatar, tindakan yang dilihat boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi negara Teluk itu.

Jan Egeland, setiausaha agung di Majlis Pelarian Norway dan bekas ketua organisasi kemanusiaan PBB, memberi amaran yang Qatar akan terpaksa membataskan sumbangannya kepada Gaza.

“Qatar merupakan penyumbang utama di Gaza dan menyumbang kepada kemajuan pembinaan infrastruktur di sana. Pada pandangan saya sumbangan ini mungkin tidak dapat diteruskan lagi,” katanya.

Selepas serangan Israel pada 2014, Qatar yang kaya minyak menetapkan bantuan diberikan sebanyak AS$1 bilion untuk pembinaan semula Tebing Gaza- sumbangan terbesar yang diterima kawasan bergolak itu.

Sehingga Disember 2016, sebanyak AS$216 juta sudah diagihkan, menurut Bank Dunia, ketika negara Teluk itu- yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022- menerima kesan buruk akibat kejatuhan harga minyak.

Jalan raya dan infrastruktur lain di Gaza dibina dengan dana yang diberikan Qatar.

Pemerintah Qatar mempunyai hubungan baik dengan Hamas, pergerakan Islam Palestin yang mentadbir Gaza tetapi dianggap organisasi pengganas oleh Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Lebih daripada dua pertiga penduduk Gaza bergantung kepada bantuan antarabangsa ketika negara itu menderita kerana sekatan yang dikenakan Israel sejak berdekad lamanya. – AFP, 6 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen