Trump tiba di Florida untuk hadiri perbicaraan


Penyokong bekas presiden AS Donald Trump mengadakan protes menjelang perbicaraan kes beliau di mahkamah persekutuan di Miami hari ini. – Gambar AFP, 13 Jun, 2023.

BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tiba di Florida, menjelang perbicaraan kes beliau di mahkamah persekutuan di Miami.

Trump akan hadir di mahkamah atas dakwaan salah pengendalian dokumen sulit, lapor Agensi Anadolu.

Beliau menghadapi 37 pertuduhan, termasuk 31 pertuduhan sengaja menyimpan maklumat pertahanan negara, kebanyakannya berhubung kait dengan dokumen yang dirampas FBI semasa mengeledah kediaman di estet Mar-a-Lago miliknya pada 8 Ogos tahun lalu.

Sebanyak 11 pertuduhan itu berkaitan dengan dokumen yang diserahkan kepada penyiasat FBI oleh peguam Trump pada Jun.

Ketua Polis Miami Manny Morales berkata perbicaraan hari ini sangat penting.

“Kami memandang serius perkara ini. Kami tahu ada potensi keadaan menjadi lebih buruk, tetapi itu bukan cara Miami,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata jabatan itu mempunyai sumber yang mencukupi untuk menangani sehingga 50,000 penunjuk perasaan dan tidak menjangkakan sebarang isu keselamatan berlaku di bandar itu pada berkenaan. – Bernama, 13 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen