SEBUAH gabungan terdiri daripada 20 pertubuhan masyarakat sivil dan bekas ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto menggesa kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim supaya segera melakukan reformasi preskriptif dan undang-undang bagi melindungi pemberi maklumat.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata Kabinet perlu berbuat demikian bagi melindungi pemberi maklumat yang memilih kebenaran dan kemakmuran negara berbanding keselamatan diri.
Justeru, Kabinet digesa menubuhkan Ombudsman Awam iaitu “Pembela Rakyat” yang menyiasat salah laku teruk dalam kalangan penjawat awam, dan menawarkan sumber sehenti kepada pemberi maklumat iaitu perlindungan, siasatan dan hinggalah tindakan tatatertib atau undang-undang, menurut kenyataan itu.
“Kes-kes yang paling serius harus mempunyai siasatan bebas dan hanya Ombudsman Awam yang dapat memberikan jaminan keselamatan itu,” katanya.
Bagi melaksanakannya, setiap kementerian mesti mengeluarkan dan melaksanakan pekeliling yang berkuatkuasa serta-merta, yang menyatakan bahawa sebarang tindakan balas tidak rasmi atau rasmi terhadap pemberi maklumat adalah salah satu kesalahan tatatertib tertinggi dan tidak lagi diterima, jelasnya.
Selain itu, pekeliling tersebut juga mesti menyatakan bahawa melindungi pesalah tatatertib, sivil atau jenayah yang didakwa adalah satu bentuk suapan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 dan akan didakwa.
Parlimen juga digesa segera merangka, membincangkan, dan meluluskan pindaan utama kepada undang-undang negara yang mempunyai kesan retroaktif dengan menghapuskan peruntukan antipemberi maklumat yang bercanggah dan samar-samar secara sengaja yang mendiamkan pendedahan.
Peruntukan yang dimaksudkan adalah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam & Tatatertib 1993 – Seksyen 19; Kanun Keseksaan – 203A; Akta Hasutan 1948 – hampir keseluruhannya; dan Akta Rahsia Rasmi 1972 – hampir keseluruhannya.
Kenyataan itu juga menyebut perlindungan sivil dan jenayah perlu diperluas kepada mangsa, keluarga dan saksi, serta meminda sebahagian besar Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan membolehkan pemberi maklumat mendapatkan nasihat undang-undang tanpa kehilangan perlindungan dan membenarkan mereka melapor kepada entiti di luar cabang eksekutif tanpa kehilangan perlindungan, katanya.
Gabungan itu juga menggesa Parlimen menubuhkan Ombudsman Awam di luar cabang esekutif yang akan menerima, menyiasat, menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat, dan mengambil tindakan undang-undang atau tatatertib dalam kes salah laku perkhidmatan awam yang teruk.
Mereka mengesyorkan pesuruhjaya utama Ombudsman Awam ini mestilah dari kalangan warga undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil dan institusi penyelidikan yang baik, serta pakar-pakar kesihatan, kanak-kanak dan alam sekitar.
Mereka juga mencadangkan supaya ahli politik, penjawat awam serta bekas penjawat awam mesti dikecualikan bagi mengelakkan persepsi atau konflik kepentingan.
“Pemberi maklumat menanggung akibat buruk apabila Kabinet Najib Razak, Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri secara tidak bertanggungjawab mengabaikan rintihan dan rayuan perkhidmatan awam.
“Malah, mereka meninggalkan bebanan bernilai jutaan ringgit kepada generasi masa hadapan, institusi awam yang berisiko tinggi boleh korup, dan kualiti hidup yang rendah – ditakdirkan untuk kaku tidak bergerak untuk rakyat Malaysia yang marhaen,” katanya.
Kenyataan itu turut mengingatkan bahawa skandal kerajaan yang disembunyikan boleh meruntuhkan sesebuah negara.
Perlindungan yang serius, bebas, dan cepat untuk pemberi maklumat adalah pembaharuan yang diharapkan oleh semua dengan manfaat yang penting, meluas, dan pantas, katanya.
“Tiada alasan untuk menangguhkannya. Kabinet perpaduan hari ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk menghapuskan rasuah, penyelewengan, salah laku, ketirisan, dan sifat-sifat lain yang dibenci sedunia dalam kehidupan rakyat Malaysia.” – 13 Jun 2023.
Komen