SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mencadangkan pelaksanaan kod tata laku etika antarabangsa bagi menangani isu kesilapan maklumat melalui pentas digital, kesan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata pembangunan pesat AI termasuk chatbots, penjana imej dan teknologi klon suara, mencetuskan kebimbangan dunia terhadap risiko menyebarkan maklumat palsu.
Katanya, beliau menyokong idea pembentukan sebuah badan pemerhati AI yang mirip kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), namun hanya negara anggota boleh menciptanya, bukan Sekretariat PBB.
“Walaupun teriakan amaran mengenai AI ‘kuat, mereka tidak boleh mengalihkan perhatian daripada kerosakan yang dilakukan teknologi digital kepada dunia kita.
“Penyebaran kebencian dan pembohongan dalam ruang digital menyebabkan kemudaratan kepada dunia, yang semakin teruk sekarang.
“Ia memburukkan konflik, kematian dan kemusnahan sekarang. Ia mengancam demokrasi dan hak asasi manusia sekarang,” katanya pada sidang media semasa membentangkan taklimat dasar mengenai perkara itu.
Guterres berkata Kod Tata Laku PBB bagi integriti maklumat pada pentas digital akan dibangunkan menjelang Sidang Kemuncak Masa Depan PBB, yang dijadualkan pada tahun depan.
Katanya, taklimat beliau berhubung dasar itu akan merangkumi kod etika, termasuk memastikan tindakan pengiklan yang menjana wang menerusi kandungan berbahaya perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perbelanjaan mereka. – AFP, 13 Jun, 2023.
Komen