Lawatan Raisi buka lembaran baharu hubungan Iran-Amerika Latin


Presiden Iran Ebrahim Raisi (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Venezuela Nicolas Maduro semasa sidang media di Caracas pada Isnin. Raisi kini dalam lawatan rasmi empat hari ke tiga negara Amerika Latin - Venezuela, Nicaragua dan Cuba. – Gambar AFP, 13 Jun 2023.

LAWATAN Presiden Iran Ebrahim Raisi ke Amerika Latin membuka lembaran baharu dalam hubungan Iran dengan rantau itu, kata Menteri Luar Hossein Amirabdollahian.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelang lawatan presiden, Hossein Amirabdollahian berkata diplomasi dinamik dan interaksi bijak merupakan doktrin pentadbiran Raisi dalam dasar luar dan hubungan antarabangsa. 

“Dalam doktrin ini, pembinaan hubungan yang menyeluruh dan kepelbagaian hubungan jangka panjang dan kerjasama dengan negara-negara dunia, termasuk rantau Amerika Latin, sangat penting,” kata Amirabdollahian.

Kunjungan itu akan membuka lembaran baharu dalam hubungan yang telah sekian lama terjalin antara Iran dan Amerika Latin selain mengukuhkan kerjasama saling menguntungkan dalam tenaga, sains, teknologi, kesihatan, perubatan, pertanian dan eksport barangan serta perkhidmatan kejuruteraan teknikal.

Raisi berlepas dari Tehran pada awal pagi Isnin untuk memulakan jelajah empat hari ke tiga negara Amerika Latin - Venezuela, Nicaragua dan Cuba.

Sebelum lawatan itu, presiden menyifatkan hubungan Republik Islam dengan tiga negara Amerika Latin itu sebagai “strategik”, memandangkan pendirian antiangkuh mereka yang sama seperti Iran. – Bernama, 13 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen